Kerajaan Kerjasama Dengan Pemegang Taruh, Iktiraf Kedudukan Wanita Secara Saksama – Noraini

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Kerajaan akan bersama dengan pemegang taruh dalam memberi tumpuan mengangkat dan mengiktiraf kedudukan serta sumbangan wanita secara saksama, setaraf dengan potensi mereka, kata Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata di bawah kementerian tersebut Pelan Strategik KPWKM 2021-2025 dimanfaat bagi memberi fokus dalam melindungi hak golongan rentan termasuk wanita.

“Untuk kita mencapai matlamat ini, ianya memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Wanita harus mengubah persepsi bahawa mereka perlu menjadi sempurna untuk bergerak jauh ke hadapan.

“Persepsi dan pandangan seperti inilah telah menyekat wanita untuk lebih berdaya maju. Ya memang sifat wanita ini cuba menjadi sesempurna yang mungkin.

“Namun, kadang kala bila penanda aras diletakkan terlalu tinggi, ini telah menyebabkan sebahagian wanita berasa kurang yakin, terutama untuk membabitkan diri dalam sesuatu bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Wanita 2023 “Kasih Wanita” Wanita UMNO Bahagian Selayang yang diadakan di Acara Event Space, Sungai Buloh.

Menurut beliau lagi meskipun golongan wanita kini mencapai pelbagai kejayaan besar dalam pelbagai profesion seperti sukan, politik namun jurang gender seperti dimaklumkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) adalah sebaliknya.

Kata beliau ini kerana Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih Malaysia 2022 yang dikeluarkan DOSM mencatatkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2021 adalah 0.707 mata, ianya bersamaan 70.7 peratus menurun 0.07 mata peratus berbanding 0.714 pada tahun 2020.

“Walaupun pencapaian wanita melebihi lelaki dalam sub-indeks pencapaian pendidikan dengan skor 1.060, dalam sub-indeks yang lain-lain seperti kesihatan dan kehidupan, peluang dan penyertaan ekonomi, wanita masih berada di belakang.

“Begitu juga dalam politik. Berdasarkan laporan yang sama, penguasaan politik mencatat skor terendah iaitu 10.0 peratus (skor 0.100) yang menunjukkan wanita masih jauh ketinggalan berbanding lelaki sebagai pembuat dasar,” katanya.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata sedangkan wanita perlu diberikan ruang yang sewajarnya kerana mereka mampu memberikan sumbangan yang lebih baik daripada golongan lelaki.

“Masyarakat perlu sentiasa sedar bahawa manusia tidak pernah sempurna dan jangkaan yang tidak realistik terhadap golongan wanita atau diri sendiri tidak akan membawa manfaat kepada sesiapa pun.

“Jadinya, wanita perlu lebih berani mengambil risiko untuk mengembangkan karier seterusnya tidak takut untuk melakukan kesilapan.

“Kesilapan ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang dapat membina keyakinan diri, membolehkan wanita lebih maju,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.