Banjir Johor: Norlizah Sempurna Tanggungjawab, Bantu Calon SPM Ke Sekolah

KOTA TINGGI, 8 Jan – Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norliza Noh menyempurnakan tanggungjawab beliau pada pagi ini dengan membantu calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir untuk ke sekolah.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa terdapat dua pusat pemeriksaan (checkpoint) untuk membolehkan para pelajar menunggu bagi ke tempat peperiksaan.

“Pagi tadi juga, pergerakan kenderaan tentera dari Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) telah bergerak untuk mengambil calon SPM untuk dihantar ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab.

“Terdapat dua checkpoint pengambilan pelajar tadi. Pertama, di Parking Lot Econsave Taman Daiman Jaya (12 orang pelajar) dan di Parking Lot Masjid Jamek Kota Tinggi (24 orang pelajar).

“…manakala ada seorang pelajar serta dua orang pengawas peperiksaan turut dihantar ke SMK Bandar dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4X4),” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama itu turut memaklumkan bahawa seramai 207 orang calon SPM telah menghadiri kedua-dua buah sekolah tersebut bago menduduki peperiksaan.

“Untuk rekod, pada hari ni seramai 207 orang calon SPM telah menghadiri Peperiksaan bagi kedua-dua buah sekolah tersebut.

“Selaku Exco Pendidikan Negeri Johor, sudah tentu ini menjadi keutamaan saya untuk memastikan kehadiran para calon SPM untuk hadir ke sekolah bagi menjawab peperiksaan ketika di musim banjir ini.

“Terima kasih anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sentiasa sedia untuk berkhidmat. Insya-Allah, moga dipermudahkan urusan semua,” katanya lagi.

Setakat jam 12 tengahari tadi media melaporkan Pusat Bandar Kota Tinggi lumpuh apabila dinaiki air sedalam lebih satu meter berikutan keadaan banjir sejak malam tadi.

Keadaan semakin bertambah buruk apabila berlaku pertembungan banjir dan fenomena air pasang penuh pada pukul 9 malam.

Jumlah mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 6,564 orang daripada 1,819 keluarga yang ditempatkan di 51 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah setakat 8 pagi ini berbanding 3,322 orang yang direkodkan pada 8 malam tadi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.