Kerjasama Gabungan Parti Politik: Biar Atas Budi Bicara UMNO Sabah, Bukan Ditentukan Orang Lain – Suhaimi

KOTA KINABALU, 7 Jan – Isu sama ada UMNO Sabah akan bekerjasama dengan parti-parti lain termasuk Warisan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hanya akan ditentukan oleh UMNO Sabah yang mempunyai kuasa autonominya sendiri.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata pihak lain tidak berhak meminta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berundur dari memimpin UMNO Sabah sekiranya parti itu menjalin kerjasama dengan parti-parti lain termasuk Warisan selain daripada lebih dari 600 ribu ahli UMNO di seluruh negeri terbabit.

Menurut Suhaimi setakat ini, belum ada keputusan sama ada akan menjalin kerjasama dengan parti-parti lain bagi menghadapi PRN akan datang kerana dalam isu ini, UMNO Sabah perlu berhati-hati dan hanya menjalinkan kerjasama dengan parti yang menghormati perjanjian dimeterai.

Katanya, proses gabungan dengan parti lain sebelum ini telah mengajar UMNO Sabah untuk menjadi matang dalam menjalin kerjasama dengan parti lain di negeri ini.

“Kita akan bekerjasama dengan parti politik yang menghormati perjanjian satu sama lain dan memberi manfaat kepada UMNO dan Sabah.

“Kita juga akan melihat rakan-rakan yang ada kesetiaan dan keikhlasan dalam melaksana tanggungjawab sebagai gandingan untuk memperjuang untung nasib rakyat Sabah. Kita tidak mahu lagi krisis dalaman yang menggangu usaha membangunkan negeri,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Suhami yang juga Ketua UMNO bahagian Libaran berkata demikian ketika diminta mengulas saranan yang mengesa Bung Moktar berundur dari memimpin UMNO Sabah sekiranya masih mahu meneruskan hasratnya untuk bekerjasama dengan parti Warisan khususnya untuk menghadapi PRN akan datang.

Dalam hal ini Suhaimi mempersoalkan siapa mereka yang bercakap berkaitan UMNO Sabah?

“Mereka tidak berhak mendesak Bung berundur memimpin UMNO Sabah sekalipun UMNO Sabah mengambil keputusan untuk bergabung dengan parti-parti lain termasuk Warisan khususnya untuk menghadapi PRN akan datang.

“Sebaliknya jika pun berlaku keputusan untuk bergabung dengan mana-mana parti ianya dibuat secara konsensus atau keputusan bersama setelah mengambil kira pandangan semua pihak dalam UMNO Sabah termasuk presiden parti.

“Apa pun keputusan UMNO Sabah sama ada mahu bekerjasama dengan parti-parti lain khususnya untuk menghadapi PRN akan datang itu adalah hak UMNO Sabah, biarlah kami (UMNO Sabah) yang memutuskannya, bukannya ditentukan oleh orang luar yang tidak berkaitan dengan UMNO,” tegas Suhaimi lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.