Negeri Sembilan Dukung Aspirasi Madani – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata Kerajaan Perpaduan tidak memandang enteng dalam agenda untuk mengungguli kemajuan dan kemakmuran di perdesaan dalam negara kita.

Justeru beliau melihat ucapan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa Majlis Amanat Tahun 2024 semalam memberi gambaran yang menyeluruh dan tuntas akan pemfokusan pihak kerajaan untuk tujuan tersebut.

“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi Negeri Sembilan, saya memberi sepenuh jaminan dan iltizam bahawa negeri ini akan memastikan setiap sudut pandang Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk tahun 2024 disambut baik dan diselarikan dengan penuh cermat.

“Justeru, seruan beliau di dalam tatakelola pengurusan organisasi untuk masyarakat luar bandar melalui akronim ‘KKDW’ akan dijadikan petua terpenting, iaitu K-kemahiran dan pengetahuan, K-keberkesanan dan kecekapan, D – data dan digital serta W – wow factor,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Jalaluddin lagi, Negeri Sembilan juga sudah pasti akan menyesuaikan Program Game-Changer (program susulan) yang diumumkan Menteri dengan agenda kerajaan negeri.

“Ia meliputi Desa to Global (D2G) yang bermatlamat mengangkat potensi produk dan perkhidmatan usahawan desa untuk pasaran dalam dan luar negara, Profit Center Thinking yang melaksanakan sesuatu dengan matlamat ‘low cost, high profit’, After Sales Service (pemantauan secara berterusan), Success Story on TVET (perkongsian kisah kecemerlangan TVET) dan Halal to Global (H2G) yang menjadikan hub utama industri halal dunia melalui para usahawan di perdesaan kita.

“Saya juga bersetuju dengan buah fikir beliau yang mahu memperkasakan elemen media (konvensional dan sosial) dan komunikasi, dengan mendamping mereka sebagai rakan yang boleh membantu untuk penceritaan kepada program-program berimpak tinggi terhadap rakyat di luar bandar.”

Ujar beliau, pada dasarnya, semua ini sudah pasti selari dengan impian Menteri Besar Negeri Sembilan dan kerajaan negeri yang mahu menjadikan negeri ini sebagai ‘Negeri Madani’ khususnya di tahun 2024 ini.

“Semoga kita mampu meletakkan Negeri Sembilan dan Malaysia ke suatu kedudukan yang jauh lebih baik di tahun ini, dan tahun-tahun yang akan datang, insya-Allah,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.