Jelajah Akar Umbi: Presiden Mahu UMNO Gagah Semula Di Persada Politik

CAMERON HIGHLANDS, 6 Jan – Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO untuk tahun 2024 membuka tirai apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meneruskan siri kembara ke UMNO bahagian di sini dalam majlis perjumpaan bersama kepimpinan parti.

Kehadiran lebih 300 ahli melibatkan pemimpin peringkat akar umbi bagi UMNO Bahagian Cameron Highlands melengkapkan siri yang kesembilan bagi jelajah terbabit.

Ia turut dihadiri Ketuanya merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang.

Perjumpaan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri bersama pimpinan UMNO di sini membawa tujuan untuk menjelaskan isu-isu semasa di samping beramah mesra bersama para ahli.

Dalam pertemuan tersebut, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga menasihati semua anggota parti agar sentiasa bersatu-padu dan bersama-sama dengan saf kepimpinan serta mengembalikan semula kekuatan parti.

Pelbagai perkongsian disampaikan oleh Presiden melibatkan isu-isu semasa termasuk harapannya kepada penyatuan dalam kalangan ahli parti bagi memastikan gerak kerja sebaiknya dilaksanakan dalam persiapan mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut menasihati ahli-ahli UMNO agar menggunakan sosial media dengan bijaksana.

“Jangan biarkan saya seorang diri, jangan ada orang mengata pada Presiden, kita ‘forward’ ke orang lain dan bukannya nak jawab. Jangan kita tolong tambah lagi … walaupun tidak tambah apa-apa jangan nak diviralkan dan cukuplah dalam perkara ini.

“Saya bawa UMNO, saya mahu UMNO dominan semula dan gagah semula untuk menghadapi PRU akan datang. Kalau semangat ini dapat diletakkan semula, insya-Allah, saya yakin bahawa UMNO akan berada di persada politik kembali.

“Selesaikan dan sifarkan masalah dalaman dan bina kekuatan di kalangan yang bukan ahli-ahli UMNO serta tarik lagi sokongan. Kita gunakan sosial media dengan sebaik-baiknya untuk menyerang mereka dan jangan terlalu baik,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut sama meluangkan masa dalam program berkenaan serta memberikan perkongsian beliau mengenai perkembangan semasa politik negara.

Selain Ahmad Zahid, hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Datuk Lokman Noor Adam, Datuk Seri Megat Zulkarnain Megat Omar Din; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Mohd Ramly Mohd Noor; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi serta kepimpinan UMNO Bahagian Cameron Highlands.

Program Jelajah Akar Umbi dimulakan oleh Ahmad Zahid apabila turun berjumpa dengan kepimpinan UMNO di bahagian-bahagian pada 1 Oktober di UMNO Bahagian Putrajaya; diikuti 7 Oktober, UMNO Bahagian Parit; 8 Oktober, UMNO Bahagian Sabak Bernam, 15 Oktober UMNO Bahagian Alor Gajah dan Bahagian Tangga Batu 18 Oktober, UMNO Bahagian Setiawangsa; 19 Oktober dan UMNO Bahagian Jempol dan Jelebu pada 22 Oktober tahun lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.