Gelombang Keempat MTL: Penduduk, Agensi Diminta Siap Siaga, Patuhi SOP – Ahmad Zahid

CAMERON HIGHLANDS, 6 Jan – Agensi terlibat termasuk penduduk di selatan tanah air diminta berjaga-jaga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), bagi menghadapi gelombang keempat monsun timur laut (MTL) yang kini beralih ke kawasan selatan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata agensi serta jawatankuasa negeri perlu bersiap siaga, bagi mengambil tindakan segera menghadapi bencana dibawa oleh MTL termasuk bencana banjir.

“Luruan gelombang keempat MTL ini telah beralih ke selatan dan saya harap tindakan segera mengikut SOP yang telah ditentukan oleh Nadma (Agensi Pengrusan Bencana Negara) dan juga APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) serta lain-lain agensi, dapat diikuti oleh semua jawatankuasa dan juga agensi terlibat,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Ruil, yang menempatkan 88 mangsa daripada 17 keluarga yang terjejas akibat kejadian pada 12 Okt tahun lalu.

Mengulas mengenai keadaan banjir di negeri Johor, Ahmad Zahid berkata mangsa kembali mencatat peningkatan namun dengan kerjasama agensi terlibat, pengurusan banjir didapati semakin baik berdasarkan pengalaman tahun-tahun sebelumnya.

Menurut Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) seramai 1,197 mangsa banjir di Johor berlindung di 12 PPS setakat 6 pagi ini, meningkat sedikit berbanding 1,153 malam tadi.

Seramai 793 mangsa ditempatkan di lapan PPS di Kota Tinggi, 277 mangsa di dua PPS di Mersing manakala sebuah PPS masing-masing di Johor Bahru (43 mangsa) serta Kluang (84 mangsa). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.