Usaha Perikatan Nasional Tumbangkan Kerajaan Umpama Sabotaj Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman menyifatkan pandangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkenaan usaha Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan kerajaan sebagai perlakuan jenayah serius.

Katanya, ia juga memberikan implikasi yang lebih besar iaitu hilangnya keyakinan pelabur untuk membawa masuk pelaburan ke negara.

“UMNO Perlis berpandangan kenyataan yang berulang-ulang sepanjang tahun oleh Muhammad Sanusi dan pimpinan PN lainnya untuk menjatuhkan kerajaan adalah perlakuan jenayah serius yang membawa pelbagai ketidaktentuan dan mengganggu ketenteraman masyarakat.

“Di suatu masa, pimpinan PN bercakap tentang pentingnya kerajaan menggandakan usaha pemulihan ekonomi sementara di masa lain mereka melakukan tindakan-tindakan yang jelas menjurus kepada sabotaj ekonomi negara agar Kerajaan Perpaduan dilihat tidak efektif dalam mengendalikan proses pemulihan ekonomi ini.

“Perlakuan sabotaj ekonomi ini memberi kesan negatif yang berterusan kepada nilai mata wang serta risiko peningkatan kadar inflasi dan tekanan terhadap kuasa beli rakyat. Ringkasnya, segala tindaktanduk pimpinan PN dalam perkara ini amat tidak bertanggungjawab dan membawa tekanan kesusahan kepada rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau dalam pada itu menggesa supaya PN menghentikan segala kenyataan umum berkaitan isu peralihan kerajaan.

Beliau juga berharap kerajaan dapat mengambil tindakan tegas sekiranya perkara ini berterusan.

“Sekiranya betul pihak PN mempunyai cukup jumlah untuk membentuk kerajaan, silalah berurusan dengan Yang DiPertuan Agong dan insitutisi Parlimen Malaysia secara tertutup dan ambil-alih pentadbiran negara ini secara terhormat. Jangan sabotaj ekonomi negara! Jangan aniaya rakyat!” ujar beliau.

Terdahulu, Muhammad Sanusi seperti dilaporkan media menyatakan keyakinan pertukaran kerajaan menerusi Langkah Dubai akan menjadi kenyataan meskipun tidak mendedahkan butiran terperinci.

Menurutnya, kejatuhan kerajaan akan berlaku menerusi peralihan sokongan ahli Parlimen dan tindakan itu tidak menyalahi Perlembagaan mahupun amalan demokrasi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.