PADU Langkah Terbaik Sistem Penyampaian Kerajaan Untuk Rakyat – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah melihat Pangkalan Data Utama (PADU) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan langkah terbaik kerajaan bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan dilaksanakan dengan sempurna.

Menurut beliau PADU merupakan antara inisiatif di bawah Anjakan Besar Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 dan ianya cukup bermanfaat bagi memudahkan segala perancangan yang telah disusun.

“Sistem PADU merupakan pangkalan data berkaitan individu dan isi rumah rakyat Malaysia yang mengintegrasikan data dan maklumat daripada pelbagai kementerian dan agensi.

“Matlamat utama sistem PADU adalah untuk meningkatkan kecekapan perancangan dasar dan pengagihan sumber supaya lebih bersasar dan memberi manfaat kepada rakyat yang benar-benar layak,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seterusnya menambah PADU juga membolehkan Kerajaan untuk menggunakan penjimatan sumber bagi membiayai program dan projek sosioekonomi yang lebih memberi impak maksimum kepada rakyat.

“Pembangunan PADU akan meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan Kerajaan serta merapatkan jurang sosioekonomi rakyat,” tambahnya.

Majlis Peluncuran PADU  dirasmikan Perdana Menteri pada Selasa dan ianya dijangka dapat mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi untuk rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.