Kehadiran Mohamad Hasan Pembakar Semangat Pelajar Hadapi SPM

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Kehadiran Timbalan Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sri Sendayan memberikan pembakar semangat kepada para pelajar untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Majlis tersebut diadakan bagi meraikan para pelajar yang akan berhadapan dengan peperiksaan tersebut bermula pada minggu hadapan.

Mengambil kesepatan pada pertemuan tersebut, Mohamad yang juga Menteri Luar turut berpesan kepada para pelajar untuk kekal tenang dan terus yakin dengan kebolehan diri untuk mendapatkan keputusan yang terbaik.

“Saya ke Majlis Restu Kasih Ilmu Diraih SPM 2023 SMK Bandar Baru Sri Sendayan yang diadakan di Dewan SK Bandar Sri Sendayan.

“Majlis diadakan bagi meraikan dan merestui anak-anak yang akan menduduki peperiksaan SPM 2023 minggu hadapan.

“Alhamdulillah sempat berpesan agar mereka kekal tenang dan yakin dengan kemampuan diri dalam menduduki peperiksaan penting ini. Moga sedikit sebanyak nasihat dapat membakar semangat mereka dalam menduduki peperiksaan nanti, insya-Allah,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Meneruskan rutin sebagai wakil rakyat di kawasan, beliau ke Pusat Khidmat Parlimen Rembau bagi bertemu dengan pelbagai pihak bagi memberikan sumbangan.

Beliau malah berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban mereka dalam meneruskan kehidupan.

“Selesai di SMK Sendayan, bergegas pula ke Pejabat Parlimen Rembau bagi menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT, PIBG, NGO, sekolah, persatuan penduduk, kariah masjid dan juga bantuan sara hidup buat masyarakat yang memerlukan.

“Semoga sumbangan ini dapat mempermudah segala urusan dan meringankan tanggungan yang dihadapi. Insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.