Amanat Tahun Baharu KKDW: Ahmad Zahid Perkenal Empat Teras Utama ‘Aspirasi Desa Madani’

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amanat tahun baharu kepada warga kementerian tersebut dengan memperkenalkan ‘Aspirasi Malaysia Madani’ yang terdiri daripada empat teras utama.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, amanat tersebut dilakukan bagi memberikan panduan kepada warga KKDW untuk mencipta hala tuju kementerian bersesuaian kehendak masyarakat.

“Seperti lazimnya pada awal tahun, saya akan memberikan Amanat Tahun Baharu bagi memberikan panduan buat warga KKDW untuk mencerakinkan haluan baharu Kementerian bersesuaian dengan kehendak masyarakat desa pada tahun ini.

“Saya memulakan dengan memperkenalkan Aspirasi Desa Madani sebagai asas kepada setiap langkah yang bakal dicerakinkan sepanjang tahun 2024 dengan empat (4) teras utama berpaksikan akronim KKDW merangkumi kemahiran dan pengetahuan (K); keberkesanan dan kecekapan (K); data dan digital (D) serta wow factor (W),” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, beliau juga telah melontarkan beberapa pendekatan dan sasaran awal yang boleh dijadikan sebagai program ‘game-changer’.

“Selain itu, saya juga telah melontarkan beberapa pendekatan dan sasaran awal yang boleh dijadikan sebagai program game-changer dan berimpak tinggi untuk diperhalusi serta dibincangkan bersama oleh seluruh warga KKDW.

“Pertama – Desa to Global (D2G): Ia bermatlamat mengangkat potensi produk dan perkhidmatan usahawan desa untuk dipasarkan bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga luar negara;

“Kedua – Profit Center Thinking: Melaksanakan sesuatu yang mempunyai matlamat dan boleh membawa pulangan kewangan secara langsung mahupun tidak langsung berserta pendekatan ‘low cost, high profit’. Ia juga perlu disusuli dengan The Customer Satisfaction Index (CSI) atau Indeks Kepuasan Pelanggan untuk mengukur tahap kepuasan pengguna terhadap perkhidmatan ditawarkan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau juga mahu setiap inisiatif kementerian yang disalurkan kepada golongan sasar turut dipantau secara berterusan.

“Ketiga – After Sales Service: Saya mahu setiap inisiatif Kementerian yang telah disalurkan kepada golongan sasar seperti bantuan infrastruktur, latihan, perniagaan dan sebagainya dipantau secara berterusan bagi memastikan rakyat benar-benar merasai bantuan yang disediakan.

“Keempat – Success Story on TVET: Memberikan liputan yang sewajarnya dalam menguar-uarkan keberkesanan pendidikan TVET dalam melahirkan tenaga mahir negara yang berkualiti dalam pelbagai lapangan bidang. Kita maklum persepsi TVET sebagai bidang pengajian kelas kedua masih wujud. Justeru, perkongsian kisah kecemerlangan TVET dapat memangkin agenda ini untuk diterima rakyat khususnya buat belia di desa.

“Kelima – Halal to Global (H2G): Saya mahu melihat usaha Malaysia menjadi hub utama industri halal dunia diperkasakan melalui pembangunan produk halal global yang diterajui oleh usahawan tempatan terutamanya oleh para usahawan di perdesaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut meletakkan keyakinan penuh kepada seluruh tenaga kerja KKDW bahawa kementerian tersebut bakal berjaya menempuhi apa jua cabaran.

“Justeru, saya meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada seluruh warga KKDW bahawa kita akan berjaya mengharungi apa jua cabaran yang ada dan mestilah memberikan usaha terbaik untuk memastikan agenda pembangunan desa akan terus dapat dilaksanakan. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.