Komitmen Kerajaan Perpaduan Beri Penekanan Usaha Tangani Kos Sara Hidup, Hala Tuju Ekonomi – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Kerajaan Perpaduan melaksanakan inisiatif-inisiatif merentasi kementerian dalam menunjukkan komitmen memberi penekanan kepada usaha menangani dan mengimbangi kos sara hidup serta hala tuju ekonomi negara.

Beliau yang juga Presiden UMNO merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata demikian menerusi hantaran dalam laman Facebooknya malam tadi.

Terdahulu beliau telah bersama-sama Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet dan pada sebelah petang mempengerusikan Mesyuarat Mesyuarat Pengurusan Tertinggi (MPT) KKDW yang pertama bagi tahun 2024.

“Alhamdulillah, mesyuarat berlangsung sempurna dengan memperhalusi gerak kerja berterusan yang menjurus kepada matlamat meningkatkan kesejahteraan rakyat demi mencapai keberhasilan yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Tambahan itu, mesyuarat turut membincangkan perkembangan inisiatif-inisiatif merentasi kementerian dalam menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memberi penekanan usaha menangani dan mengimbangi kos sara hidup serta hala tuju ekonomi negara,” katanya.

Beliau turut menzahirkan keazaman bagi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Insya-Allah, melangkah ke hadapan, bagi kami di KKDW, kami akan terus berusaha memberikan khidmat yang terbaik dan penuh berintegriti untuk dinikmati oleh rakyat, khususnya masyarakat desa,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.