Zahid Terharu Komitmen Puteri UMNO Bantu Mangsa Banjir, Tanpa Kira Ideologi Politik

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesyukuran dengan komitmen ditunjukkan Pergerakan Puteri UMNO dalam membantu mangsa banjir di negeri Pantai Timur.

Katanya, pelbagai bantuan dilakukan oleh Puteri UMNO seperti memberikan keperluan asas dan membersihkan kawasan terjejas adalah gerak kerja sinonim yang dilakukan oleh UMNO demi kepentingan rakyat tanpa mengambil kira ideologi politik.

“Alhamdulilah, perkembangan banjir di Pantai Timur setakat hari ini terkawal dan telah merekodkan pengurangan jumlah mangsa yang terkesan.

“Saya juga bangga melihat Pergerakan Puteri UMNO Malaysia juga terus turun padang bagi bersama-sama menghulurkan bantuan dan bergotong-royong membersihkan kediaman penduduk terjejas teruk akibat banjir di Pantai Timur.

“Inilah semangat dan komitmen yang sering ditonjolkan di dalam UMNO dengan memberi khidmat tanpa henti kepada rakyat tanpa melihat kepada perbezaan ideologi atau fahaman politik. Terima kasih. Semoga Allah SWT memberkati usaha anda semua,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Puteri UMNO yang dikemudi ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan pasukannya ke Jeli dengan menjalankan gotong-royong di sekitar kawasan yang dilanda banjir.

Turut menyertai misi tersebut adalah Sukarelawan Puteri UMNO Kelantan dan Mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang turut sama mengagihkan air minuman bersih kepada penduduk sekitar Kampung Lubok Bongor.

Setakat 12 tengah hari tadi jumlah mangsa banjir yang direkodkan di Kelantan tidak berubah, melibatkan 26 mangsa daripada tujuh keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas.

Menurut laporan terkini situasi banjir di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), mangsa di Pahang pula menurun kepada tujuh orang daripada dua keluarga, berbanding 10 mangsa daripada tiga keluarga yang berada di PPS Temerloh pada sebelah pagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.