Perkukuh Parti, Semarakkan Perjuangan Jadi Azam UMNO Bahagian Lahad Datu

LAHAD DATU, 3 Jan – Suasana tahun baharu meletakkan pelbagai azam yang pastinya akan menyemarakkan kembali perjuangan UMNO agar kembali kukuh dan terus ampuh.

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul memaklumkan bahawa program di UMNO bahagian terbabit telah dirancang dengan memanfaatkan kepelbagaian kaum dan budaya khusus dalam memastikan UMNO terus kukuh.

Katanya, sudah tiba masanya rakyat Sabah kembali bersama UMNO sebagaimana seperti sebelum ini apabila UMNO/BN memainkan peranan penting menyumbang kepada kemajuan negeri terbabit.

“Dalam kita menghormati kepelbagaian ini, hak rakyat Sabah harus dipertahankan. Kita perlu sedar yang kini bukan hanya parti UMNO yang diuji, malah seluruh rakyat Sabah juga berdepan pelbagai kesulitan.

“Sudah tiba masanya rakyat Sabah menuju ke hadapan bersama UMNO. Jika satu ketika dahulu UMNO berjaya membangunkan Sabah, baik dari segi ekonomi, keusahawanan, urus tadbir politik, seni dan budaya, malah segenap aspek pembangunan negeri Sabah telah terlakar,” katanya kepada UMNO Online.

Sharif Musa mengakui bahawa suasana politik hari ini amat berbeza malah memberi kesan kepada masyarakat keseluruhan.

“Dunia politik hari ini adalah dunia yang amat ‘brutal’. Pastinya bukan untuk mereka yang lemah semangat dan mudah mengalah.

“Lihat saja di media sosial betapa banyaknya polemik isu-isu semasa yang berlegar antara yang palsu dan yang benar, UMNO juga dihukum dan dihakimkan seolah kita hidup di bawah mikroskop masyarakat dalam talian.

“Pelbagai perkara boleh berlaku, namun titik hitam yang berlaku dalam UMNO Sabah lalu tidak akan berulang lagi, walau bagaimana dahsyat badai mendatang, insya-Allah, ahli-ahli UMNO Sabah yakin bahawa pada akhirnya rakyat akan tetap memilih untuk bersama parti yang telah banyak berjasa ini.”

Justeru beliau mengajak semua pihak untuk melakukan penilaian dan memilih UMNO sebagai platform perjuangan secara holistik.

“Cukuplah sekali pernah tersasar kerana kini kita mempunyai hala tuju dalam menilai dengan matang, bukan dengan emosi, apatah lagi terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang menjanjikan bulan dan bintang. Teruslah bersama UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.