Mohamad Hasan Santuni Masjid Kariah Gadong Sertai Majlis Kesyukuran Tahun Baharu

KUALA LUMPUR, 2 Jan – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berbesar hati menghadiri Majlis Malam Silaturahim di Masjid Kariah Gadong, Rembau.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen Rembau berkata masjid ini saban tahun mengadakan majlis tersebut ketika tahun baharu.

Katanya ia sebagai simbolik kesyukuran dan medan merapatkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat di kawasan ini.

Kesempatan itu juga dimanfaat Mohamad untuk beramah mesra bersama jemaah yang hadir di samping bertanya khabar kepada mereka.

“Majlis Malam Silaturahim di Masjid Kariah Gadong, Rembau. Ini merupakan majlis tahunan Masjid Kariah Gadong bagi mensyukuri ketibaan tahun baharu saban tahun.

“Alhamdulillah, para jemaah juga mendapat manfaat daripada ceramah yang disampaikan Ustaz Abd Fattah dengan tajuk Kesejahteraan Masyarakat Dambaan Insani,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Suhaimi Aini.

Untuk rekod, Mohamad pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu mengekalkan pengaruh beliau di DUN Rantau, beliau kemudiannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu juga memenangi kerusi Parlimen Rembau.

Mohamad seterusnya dilantik menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan sebagai Menteri Pertahanan.

Pada Disember lalu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan rombakan Kabinet, Mohamad kemudiannya diberikan amanah baharu dengan memegang portfolio penting negara sebagai Menteri Luar Negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.