Lembaran Baharu 2024, UMNO Negeri Sembilan Terus Mengorak Langkah – Jalaluddin

SEREMBAN, 2 Jan – UMNO Negeri Sembilan akan terus bergerak memperkukuhkan solidariti antara jentera parti dalam usaha mempertahankan Kerajaan Perpaduan dan membawa dimensi kestabilan politik di negara ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, untuk merealisasikan tujuan tersebut, semua pihak pelbagai peringkat termasuklah Wanita dan Puteri UMNO harus memainkan peranan penting bermula hari pertama tahun 2024.

“Kita jadikan Negeri Sembilan sebagai negeri yang ‘kubu kuat’ kepada UMNO/ Barisan Nasional (BN), apatah lagi untuk tempoh tiga hingga empat tahun yang akan datang.

“Malam ini adalah sebagai permulaan sejarah di mana Wanita dan Puteri UMNO boleh duduk sebagai satu pasukan kuat UMNO di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Wanita dan Puteri UMNO Negeri Sembilan di sini, malam tadi.

Jalaluddin yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan turut mengakui penerimaan rakyat terhadap parti itu tidak sekuat dahulu, namun pelbagai usaha sedang digerakkan untuk memperbaiki keadaan dan senario tersebut.

“Penerimaan rakyat terhadap BN dan UMNO tidak mendapat tempat yang sewajarnya di seluruh negara. Namun dalam keadaan sebegitulah UMNO Negeri Sembilan terus bangkit mempertahankan dengan pelbagai usaha dan juga gandingan pemikiran semua pihak,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Jalaluddin turut berazam untuk berusaha bersama-sama pelbagai pihak dalam usaha meningkatkan sokongan kaum Melayu dan masyarakat kawasan Felda, di samping mengukuhkan solidariti ahli UMNO di negeri tersebut.

“Matlamat utama saya bagi tahun 2024 ini adalah untuk memperkukuhkan lagi UMNO Negeri Sembilan, meningkatkan sokongan rakyat terutamanya kaum Melayu dan Masyarakat Felda kepada UMNO dan yang paling utama adalah memastikan solidariti di kalangan ahli parti di Negeri Sembilan ini terus kukuh,” tambahnya.

Pada masa sama, Jalaluddin turut mengumumkan ‘Bapa Angkat’ dan ‘Sayap Angkat’ UMNO Negeri Sembilan untuk tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Perikatan Nasional (PRN) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun 2023 lalu.

DUN Serting akan diselaraskan Ketua UMNO Bahagian Jempol dan Wanita UMNO Negeri Sembilan, DUN Bagan Pinang diselaraskan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson dan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, manakala DUN Gemas akan diselaraskan Ketua UMNO Bahagian Tampin dan Puteri UMNO Negeri Sembilan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.