Lebih 300 Orang Sertai Larian Solidariti Kepada Rakyat Palestin Di Lahad Datu

LAHAD DATU, 2 Jan – Cuaca panas tidak menghalang orang ramai untuk berhimpun bagi menzahirkan sokongan kepada rakyat Palestin dalam program Larian Solidariti Palestin.

Lebih 300 orang menyertai larian tersebut yang dianjurkan oleh Kelab Komuniti Prihatin Lahad Datu dengan kerjasama Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Lahad Datu baru-baru ini.

Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Bendahari Wanita UMNO Malaysia Datin Hajah Maizatul Akmam Alawi yang turut dihadiri oleh Ketua Wanita bahagian Lahad Datu Siti Royani Rafael dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Lahad Datu Datuk Seri Dr Anil Sandhu.

Berucap merasmikan program tersebut Maizatul yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Lahad Datu berkata Rakyat Malaysia cukup simpati dengan nasib yang melanda Palestin.

Katanya, Sejak dahulu Malaysia sentiasa berdiri bersama mereka dan mengetahui secara jelas penderitaan dan perjuangan mempertahankan tanah air sendiri.

Malah, tambah beliau dunia juga dapat melihat bagaimana Malaysia menyokong Palestin dan mengutuk kekerasan dilakukan Israel.

“Pelbagai sokongan kita berikan misalnya, terdapat banyak badan sukarelawan kemanusiaan yang mengumpul dana bagi membantu masyarakat Palestin. Ada juga usaha digerakkan pelbagai organisasi perniagaan atau individu termasuk pempengaruh, malah selebriti tanah air,” katanya.

Katanya mereka menggunakan kepakaran masing-masing untuk membantu penduduk Palestin.

“Paling tidak, ada yang melancarkan tabung sumbangan dan pelbagai lagi usaha, termasuk sanggup menawarkan diri untuk mengunjungi Gaza bagi menjalankan misi kemanusiaan.

“Selain itu rakyat Malaysia juga turut mengadakan perhimpunan aman bagi membantah kekejaman Israel terhafap Palestin termasuk program hari ini Larian Solidariti Palestin bagi memberikan sokongan moral kepada penduduk Palestin,” katanya.

Maizatul berkata, segala usaha yang dilakukan kerajaan, organisasi perniagaan kerajaan atau swasta, badan kemanusiaan, masjid, surau dan individu bagi menunjukkan solidariti ini adalah manifestasi kebersamaan mendukung perjuangan rakyat Palestin dalam membebaskan tanah air mereka, khususnya Masjid Al-Aqsa di bumi Al-Quds yang juga tanah suci umat Islam sedunia.

“Dalam keadaan sekarang kita perlu teguhkan kesatuan umat Islam menentang kezaliman Israel. Bersatu hati untuk berjuang bersama rakyat Palestin walaupun kita berpijak di tanah berbeza, namun tetap mempunyai tujuan menekankan Israel henti rampas tanah dan penempatan haram Yahudi serta pembebasan tahanan Palestin,” jelas Maizatul. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.