UMNO Penggalas Utama Dalam Kerajaan Perpaduan, Mendaulat Kedudukan Melayu-Islam – Norshida

SEGAMAT, 1 Jan – UMNO adalah penentu dan penggalas utama dalam Kerajaan Perpaduan untuk mendaulatkan kedudukan Melayu-Islam seperti termaktub di dalam Perlembagaan, kata Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim.

Jelasnya, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu telah berjaya membawa dimensi kestabilan politik yang kukuh kepada negara.

“Setelah setahun Kerajaan Perpaduan dibentuk menerusi gabungan UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) diperingkat Persekutuan telah berjaya membawa dimensi kestabilan politik yang kukuh dan ini adalah salah satu faktor menyumbang  peningkatan sentimen penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Fokus kepimpinan Kerajaan Perpaduan adalah kepada kemakmuran rakyat dan memacu pembangunan negara adalah sesuatu yang diterima rakyat setakat ini kerana beberapa usaha yang telah digiatkan kepada golongan bersasar berjaya menarik minat rakyat untuk menerima Kerajaan Perpaduan ini terus mentadbir serta memimpin negara,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan bagi membantu segenap lapisan masyarakat yang memerlukan.

“Kita dapat lihat beberapa usaha yang telah diketengahkan oleh Kerajaan Perpaduan secara holistik kerana ianya merangkumi pelbagai lapisan masyarakat. Antara usaha yang telah dibuat oleh Kerajaan Perpaduan adalah Bantuan Awal Persekolahan yang ditingkatkan kepada RM150, bayaran untuk permohonan UPU Online dihapuskan, E-Dompet Belia yang ditingkatkan kepada RM200, Bantuan Prihatin Rakyat atau dikenali sebagai Sumbangan Tunai Rahmah yang ditingkatkan kepada Rm2,500, dan Elaun Sara Hidup (ESH) untuk pelajar JPA juga ditingkatkan kepada RM1,100.

“Kita juga melihat bahawa dunia digital turut diperkasakan dengan inisiatif harga Internet Jalur Lebar RM69 sebulan bagi golongan B40 berbanding harga lama iaitu RM89.00. Kesihatan juga adalah menjadi fokus utama dengan diperkenalkan perubatan percuma di klinik swasta terpilih serta insurans dan takaful rahmah, diskaun 30% untuk barangan mentah menerusi Jualan Rahmah.

“Ini semua jelas bahawa usaha-usaha terbaik kerajaan untuk rakyat bagi mengurangkan beban ekonomi mereka khususnya golongan bawahan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa keberadaan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan adalah bagi mempertahankan hak orang Melayu dan Islam.

“Allah ini Maha Adil kerana meletakkan UMNO sebagai tunjang di dalam Kerajaan Perpaduan bagi mempertahankan hak orang Melayu dan agama Islam kerana ia adalah undang-undang yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan dan wajib dipertahankan.

“UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan adalah untuk memastikan bahawa tiada sabotaj dikalangan para pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan berkepentingan untuk menjatuhkan kedudukan dan kedaulatan Agama Islam, bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berkeyakinan bahawa ini adalah asbab terbesar kepada rakyat untuk kembali menaruh harapan kepada UMNO.

“Ya, saya yakin bahawa UMNO adalah penentu dan penggalas utama dalam Kerajaan Perpaduan bagi mendaulatkan kedudukan orang-Orang Melayu dan Islam. dan pada asasnya Perjuangan kita sebagai ahli parti UMNO adalah untuk memastikan Agama Islam, Kebangsaan Melayu, Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Malaysia terbela, dipertahankan dan dilindungi sebaiknya.

“Saya percaya bahawa inilah asbab terbesar kepada rakyat masih lagi menaruh harapan terhadap UMNO bagi kelansungan perjuangan demi Agama Islam, Orang Melayu dan Bumiputera,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.