Isu Tun Daim: Biar SPRM Lakukan Siasatan – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 1 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi beranggapan bahawa biarlah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan ke atas kes bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Jelasnya, sememangnya rakyat telah sekian lama menunggu giliran untuk Tun Mahathir dan Tun Daim disiasat oleh badan yang sama.

“Kalau betul Tun Daim akan disiasat, direman dan didakwa, ia akan jadi tajuk besar untuk 2024. Tidak pelik pun. Najib bekas Perdana Menteri sudah melalui pengalaman itu.

“Rumah diserbu, akaun disita, satu malam ditahan di pejabat SPRM, didakwa, dibicara dan akhirnya dipenjara. Muhyiddin tidak lama lagi akan dibicara.

“Rakyat memang tunggu giliran Tun M dan Tun Daim disiasat. Dia kena terima hakikat. Dia tidak kebal. Biar SPRM siasat. Kekayaan Daim bocor bila viral ‘Kertas Pandora’,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, siasatan tersebut akan dijalankan berdasarkan kepada Pandora Paper yang pernah menggemparkan negara sebelum ini.

“SPRM kata siasatan terhadap Tun Daim berdasarkan kertas pandora. Baru rakyat tahu dua anak Daim memiliki syarikat BVI (British Virgin Island) ketika berumur 9 dan 12 tahun.

“Banyak misteri mengenai kekayaan Daim. Apakah kandungan ‘Pandora Paper’ itu benar? Biar SPRM siasat. Kita pun hairan kenapa Daim tidak tersenarai 50 orang terkaya dalam ‘Forbes Malaysia’. Apa rahsianya?” katanya lagi.

Pada 21 Disember lalu media melaporkan bahawa bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, yang dikatakan milik keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Notis penyitaan bangunan setinggi 60 tingkat itu bertarikh 18 Disember lalu disiarkan melalui ruangan pemberitahuan sebuah portal berita, dengan ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.