Dakwa Sekongkol Jatuhkan Kerajaan Perpaduan… Ini Adalah Tohmahan Dan Fitnah Jahat – Rahman Mohamad

KUALA LUMPUR, 1 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menafikan bahawa beliau adalah salah seorang yang terlibat dalam percubaan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Tegasnya, ini adalah tuduhan jahat yang sengaja diadakan untuk menimbulkan polemik dan ingin mencetuskan kegelisahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Tohmahan dan fitnah jahat terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) ini tidak seharusnya berlaku di saat Kerajaan Perpaduan kini mempunyai lebih dua pertiga majoriti dan merupakan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil.

“Tuduhan seperti ini sangat berbahaya kerana situasi ini boleh mengganggu-gugat kestabilan ekonomi dan memberi kesan kepada pelaburan asing, yang sekaligus akan menjejaskan peluang perkerjaan khusus untuk orang muda,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian di Ibupejabat Polis Daerah Lipis, lebih 100 orang hadir terdiri daripada ketua kampung, ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Lipis dan ketua cawangan UMNO.

Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata sedangkan dalam tempoh beberapa minggu ini beliau berada di Malaysia khususnya di kawasan P079 Lipis bagi memenuhi program dan menyantuni masyarakat di sini.

“Walaupun di penghujung tahun, saya tetap bersedia memberi khidmat kepada masyarakat dan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga di kawasan kerana bimbang berlakunya banjir di Parlimen Lipis,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia menjelaskan bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang dan demi membersihkan namanya.

“Tindakan undang-undang yang berat akan diambil kepada Halim Romli Channel yang telah menggunakan media sosial sebagai medium hasutan.

“Saya telah membuat laporan Polis berkenaan dengan satu video yang tular menerusi akaun youtube Halim Romli Channel mengenai dakwaan sekumpulan ahli Parlimen berada di Dubai sebagai percubaan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.