PN Cukup-Cukuplah Bermain Politik, Keluarkan Kenyataan Kucar-Kacirkan Kestabilan Politik – Zawawi

PASIR PUTEH, 31 Dis – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman mengingatkan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak bermain politik dan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengkucar-kacirkan kestabilan negara.

Jelasnya, rakyat telah mempunyai pengalaman ditadbir oleh segala bentuk gabungan dan sudah semestinya mereka dapat menilai dengan baik.

“Sekarang ini, UMNO/Barisan Nasional (BN) sedang membuat satu gerakan supaya rakyat menilai ketika kita mentadbir, tidak mentadbir dan bersama dalam gabungan. Nilailah sendiri, rakyat ada pengalaman dan dah merasa zaman mana yang terbaik.

“Takkanlah kita mahukan zaman pada ketika rakyat susah, kerajaan berbelanja besar dan tidak mempunyai hasil. Untungnya pemimpin dan UMNO sendiri pun dulunya dituduh korup, rasuah, penyangak, penyamun… sekarang ini UMNO dah bersih.

“Kalau tidak bersih seratus peratus pun, 90 peratus sebab segala penyangak dan penyamun dah lompat. Kenapa lompat? Kerana ada masalahlah… yang ‘stay’ dalam UMNO ini sehingga ada tak pernah terfikir nak jadi pemimpin, hari ini jadi pemimpin kerana semua berkaliber telah lari sebab Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) nak siasat,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, pemimpin yang masih kekal di dalam UMNO adalah mereka yang bersih dan yakin bahawa mereka tidak melakukan kesalahan sedemikian.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bukit Aman pun nak siasat gerak kerja kita sama ada duit haram ataupun duit rasuah. Mereka ini dah lari dan yang ada dalam UMNO hari ini adalah pemimpin yang sejati.

“Sesiapa yang masih ada dalam UMNO ini adalah pemimpin yang masih yakin bahawa dia tidak bersalah. Sesiapa yang yakin mereka bersalah dah melompat.

“Jadi, rakyat buatlah penilaian. UMNO ini jangan dituduh lagi rasuah. Kita pun bukan menolak bahawa parti UMNO ini tidak rasuah, tetapi itu dululah. Hari ini, UMNO sebenarnya sebuah parti yang bersih,” katanya lagi.

Ujarnya, para pemimpin daripada UMNO yang melompat ke PPBM sebenarnya bertujuan untuk menyelamatkan diri mereka daripada kesalahan telah dilakukan.

“Bagi saya, PN yang bersama-sama dengan PPBM… ramai pemimpin UMNO yang saya anggap tidak bersih kerana melompat untuk menyelamatkan diri maka mereka inilah penyangak dan penyamun.

“Sebab itu, mereka mentadbir sekejap sahaja. Banyak kes, berpuluh-puluh juta dan ada yang lari tak balik. Jadi kalau bersih, berhadapanlah dengan situasi yang ada. Jangan menggunakan rakyat untuk kepentingan kita.

“Apa yang pasti, kita menggunakan diri kita untuk kepentingan rakyat. Sebagai pemimpin, jangan menggunakan rakyat untuk kepentingan kita. Takkanlah kereta kemalangan pun minta derma?” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memberitahu bahawa Pas masih lagi menggunakan fitnah menerusi ceramah-ceramahnya ketika berkempen.

“Kalau kita tengok ceramah-ceramah daripada dulu sampai sekarang Pas mengherdik, memfitnah, mencerca, mengkafirkan, memunafikkan orang dan sebagainya sampai ke hari ini.

“Allah dah letak dah baik dan buruk tetapi Pas ini, siapa yang rapat dengan dia walaupun menentang Islam, baik. Sesiapa yang tidak baik dengan dia, walaupun buat baik dan kerja yang betul tetap tidak baik. Itulah yang saya nak kongsikan dengan rakyat.

“Rakyat hari ini kena terima keputusan mereka. Tidak ada mana-mana parti terbentuk, maka sebuah Kerajaan Perpaduan didirikan hasil daripada saranan Yang di-Pertuan Agong. UMNO jangan disalahkan bersama Dap. Hanya UMNO/BN ini menolak bersama dengan PN yang membuat kejahatan kepada parti kita,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau turut berharap agar PN berhenti untuk mengeluarkan kenyataan yang mampu menggugat pertumbuhan ekonomi negara sehingga memberi kesan serius kepada rakyat.

“Sekali lagi, saya ingin mengambil peluang ini supaya kita teruskan dahulu dengan apa yang ada pada hari ini. Usahlah kita berpolitik. Kita kena hidup dengan membawa kebaikan dalam diri, keluarga dan masyarakat.

“Kepada PN, cukup-cukuplah bermain politik kerana akhir sekali, masa tersebut telah dirugikan oleh andaian dan juga strategi yang membawa kepada kekeruhan. Hari ini pun kita tidak boleh salahkan kerajaan kerana duit dan ekonomi kita jatuh sebab ulasan yang kerajaan nak runtuh ini menyebabkan pelabur tidak mahu masuk ke dalam negara kita.

“Siapa yang salah? PN. Ini yang rakyat kena faham. Rakyat kena beritahu PN, cukup-cukuplah. Kenyataan kamu akhir sekali membawa padah kepada rakyat. Duit jatuh, ekonomi jatuh dan rakyat yang akan menerima padah,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.