Jangan Sentuh Hal Gugat Keharmonian Kaum, Perlembagaan Persekutuan Tidak Seharusnya ‘Diusik’

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Senator Datuk Dr Azhar Ahmad mengingatkan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan untuk tidak menyentuh hal-hal yang boleh mengguggat keharmonian antara kaum.

Jelasnya, hal-hal yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak seharusnya ‘diusik’ kerana ianya akan mengguris hati sesetengah kaum.

“Hal-hal yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, jangan sesiapa pun ‘usik’ kerana kalau berkenaan dengan itu akan ada kaum yang terguris.

“Tidak perlu kerana kita hidup dalam keadaan harmoni… hidup lama dah dalam Malaysia ini, semua orang boleh cari makan.

“Orang kaya, miskin dengan keadaan yang selesa di Malaysia. Semua kaum kalau rajin berusaha dia akan berjaya. Sebab apa hendak usik hal-hal tersebut?” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, ketua agama Islam adalah sultan di negeri masing-masing dan para pemain politik tidak seharusnya masuk campur.

“Kita sudah tahu ketua agama Islam adalah sultan di negeri masing-masing. Jangan sentuh bab-bab itu.

“Jadi, saya rasa untuk mengharmonikan suasana dalam Kerajaan Perpaduan ini, kita tak payah usik. Berapa kali sudah kita pesan jangan usik perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Bincang baik-baik sekarang ini… padukan usaha sama kita dalam kerajaan, kuatkan ekonomi negara, cantikkan hubungan Malaysia dengan negara luar supaya mereka percaya kepada kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa sekiranya terdapat percanggahan perlulah dibawa ke meja rundingan.

“Bukan mahu ungkit tetapi perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1948 ketika Tanah Melayu dibentuk… tahun 1957 kita merdeka, ini semua perkara telah dipersetujui oleh tiga bangsa utama.

“Kalau perlu apa-apa, bincang di meja rundingan. Itu yang paling baik daripada kita lemparkan pandangan yang membuatkan orang terguris hati.

“Kerajaan kita sudah elok yang penting sekarang ini pemimpin kita berkhidmat untuk rakyat. Bagi rakyat makan, kerja, rumah… itu yang patut kita fokuskan, bukan dengan membangkitkan sentimen perkauman,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.