UMNO Jadi Semak Dan Imbang, Kongres Ekonomi Mampu Perkasakan Bumiputera – Zuhir Ghazali

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Penyertaan UMNO dalam Kerajaan Madani mampu menjadi semak dan imbang yang efektif dalam kerajaan, kata Presiden UMNO Siswa, Wan Muhammad Zuhir Ghazali.

Katanya, demi memenuhi aspirasi rakyat UMNO mampu menyelesaikan kekecamukan yang berlaku dalam negara kerana parti ini mempunyai banyak pengalaman mentadbir sebelum ini.

“UMNO hari ini dalam konteks sebagai rakan sejawat dalam Kerajaan Madani mampu menjadi semak imbang yang berkesan.

“Kita tidak boleh menafikan ada berlaku ketidaktentuan yang perlu ditangani, justeru UMNO perlu tegas dalam soal-soal yang melibatkan prinsip. Sementelahan pengalaman yang ada pada UMNO sebagai parti pemerintah dalam beberapa dekad yang lalu tidak boleh dinafikan.

“Keutamaan UMNO ialah kestabilan politik Malaysia dan bukannya ideologi politik rakan kerjasama. Paling penting peranan parti ini sebagai penyambung lidah rakyat dan suara hati masyarakat,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Zuhir menambah dalam menghadapai pelbagai cabaran global, UMNO perlu lebih agresif menaikkan kembali martabat agama, bangsa dan negara.

“UMNO tidak perlu malu-malu untuk menonjolkan sisi-sisi agresif dalam mengangkat harakat agama, bangsa dan negara kerana inilah identiti kita. Inilah agenda mengapa UMNO itu ditubuhkan,” jelasnya.

Katanya lagi, pelaksanaan UMNO dalam Kongres Ekonomi Bumiputera selari dengan hasrat Kerajaan Madani iaitu membantu rakyat dan pemerkasaan agenda ekonomi.

“Kita telah menjuarai dalam mengusahakan Kongres Ekonomi Bumiputera, namun tidak boleh berhenti sekadar itu. Dapatan jujur daripada kongres tersebut perlu diterjemahkan melalui polisi-polisi berkesan.

“Semangat dan aspirasi kongres ini untuk mengupayakan penglibatan Melayu dalam pelbagai sektor ekonomi dan perindustrian amat penting kerana perubahan landskap memainkan peranan dalam era globalisasi serta konflik antarabangsa mutakhir ini,” ujarnya.

Terdahulu, Kongres Ekonomi Bumiputera membentangkan hala tuju, memperkasakan dan tawaran ekonomi baharu untuk bangsa Melayu di negara ini sebagaimana yang diputuskan pelaksanaannya dengan sebulat suara pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.