UMNO/BN Perlu Pujuk, Ambil Hati Para Penyokong… Tunjuk Prestasi Terbaik Sepanjang Bersama Kerajaan Perpaduan

JELI, 30 Dis – UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu pandai memujuk dan mengambil hati akar umbi serta para penyokong yang telah beralih arah dengan prestasi ditunjukkan sepanjang mentabir negara bersama Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain berkata, UMNO/BN berperanan sebagai semak dan imbang di dalam Kerajaan Perpaduan untuk terus menegakkan perjuangan asalnya dalam membela orang Melayu serta agama Islam.

“Sudah pastilah UMNO yang menjadi ‘check and balance’. Ingat bahawasanya UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan dengan syarat yang telah pun ditetapkan. Kita kena jelaskan kepada masyarakat terutamanya ahli-ahli UMNO bahawa kita menyertai Kerajaan Perpaduan secara bersyarat dan ianya ditetapkan oleh parti kita.

“Manakala jika kita menyertai Perikatan Nasional (PN), mereka yang akan menetapkan syarat untuk UMNO. Ia berbeza apabila UMNO bersama dengan Pakatan Harapan (PH), UMNO meletakkan syarat iaitu lima perkara yang menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan yang perlu diterima oleh mereka.

“Pertama, Bahasa Melayu, agama Islam, kedudukan raja-raja, hak orang Melayu dan perkara sensitiviti orang Melayu tidak boleh disentuh di dalam Kerajaan Perpaduan pada hari ini.
Rakyat akan nampak keberadaan UMNO sebagai ‘check and balance’ Insya-Allah pada tahun-tahun seterusnya yang akan membuahkan hasil,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, beliau berharap agar UMNO akan terus menempa pelbagai kejayaan ketika bersama dengan Kerajaan Perpaduan untuk mengembalikan semula sokongan orang Melayu yang dilihat semakin berkurangan.

“Harapan kepada masa depan UMNO, saya mengharapkan UMNO membuktikan dan meneruskan kejayaan-kejayaan untuk meyakinkan rakyat terutamanya bagi mengembalikan sokongan orang Melayu kepada UMNO.

“UMNO mestilah pandai memujuk dan mengambil hati akar umbi ataupun penyokong-penyokong yang sebelum ini beralih arah kepada PN untuk kembali dengan keyakinan-keyakinan yang ditetapkan dalam pentadbiran.

“Insya-Allah saya yakin dan percaya rakyat akan melihat kedudukan dan keberadaan UMNO dan UMNO akan kembali mendapat tempat di hati rakyat,” katanya lagi.

Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan telah menjangkau usia satu tahun pentadbirannya pada 23 November lalu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, tiada satu parti pun yang memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Untuk menamatkan kemelut negara tidak berkerajaan selama beberapa hari, Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.