Peranan Wanita UMNO Penting… Pastikan Parti Kekal Relevan – Norshida

SEGAMAT, 29 – Wanita UMNO adalah ‘player’ penting untuk memastikan UMNO kekal relevan kerana mereka adalah jentera yang paling hadapan dalam menentukan kekuatan parti.

Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berkata, UMNO Johor dilihat kuat kerana kesepakatan dan kebersamaan dalam menentukan halatuju parti.

“Sememangnya kita akui bahawa UMNO di Johor masih kukuh dan boleh dikatakan kubu kuat UMNO. UMNO Johor dilihat kuat disebabkan kesepakatan dan kesatuan hala tuju di kalangan ahli serta pemimpin… menyebabkan kita menang dengan sangat selesa dan menguasai 90 peratus daripada calon-calon kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini di Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Ditambah pula dengan Sultan Johor menitahkan pemimpin muda menjadi Menteri Besar, melihatkan peningkatan dan perubahan yang ketara dari segi perlaksanaan kerja serta kepimpinan tadbir urus negeri dengan baik,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, UMNO perlu menyusun semula strategi untuk memastikan parti itu sentiasa relevan bagi segenap lapisan masyarakat.

“Ini adalah satu model bahawa UMNO perlu menyusun kembali gerak kerja dengan menggembleng tenaga orang muda dan dipacu oleh orang-orang yang berpengalaman untuk memastikan kerelevanan UMNO mengikut peredaran masa kini yang begitu cepat. Ini adalah untuk memastikan bahawa momentum perjuangan UMNO dapat dirasai rakyat.

“Kita yakin bahawa jantung UMNO adalah di Johor dan saya turut berkeyakinan para kepimpinan UMNO sedang mengatur strategi serta menentukan metodologi terbaik bagi memastikan UMNO sebagai sebuah parti siasah yang relevan untuk pelbagai lapisan peringkat.

“Sudah diperakui oleh semua peringkat bahasanya Wanita UMNO adalah ‘player’ penting dalam memastikan UMNO kekal relevan dan jentera yang paling ke depan demi menentukan kekuatan UMNO di samping memastikan UMNO dapat terus mentadbir sepertimana kejayaan di negeri Johor ini. Ia perlu diteruskan bagi memastikan kita terus diberi kepercayaan untuk tempoh tiga atau empat tahun yang akan datang,” katanya lagi.

Tambahnya, para kepimpinan Wanita UMNO Johor sentiasa mendekati rakyat bagi merasai setiap denyut nadi mereka di samping menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

“Kepimpinan Wanita UMNO Johor yang senantiasa memberikan semangat dan dorongan kepada ahli-ahli wanita untuk memperkasakan Jalinan Rakyat (JR) yang merupakan senjata UMNO paling kuat dalam memperkasa parti.

“Wanita Johor senantiasa mendengar, melihat dan merasai sendiri setiap keluhan rakyat untuk dibantu seberapa segera supaya mereka tidak terbeban dan memastikan sedikit sebanyak bebanan mereka dapat dikurangkan untuk kelansungan kehidupan.

“Itulah cara bagaimana Wanita Johor bergerak, disokong dengan data maklumat yang sahih dan tepat serta menyeluruh menyebabkan tiada yang ketinggalan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan sokongan dan dukungan yang padu daripada ahli serta akar umbi bagi menjayakan misi ‘UMNO Bangkit’ kembali.

“Hendak atau tidak, kita perlu berpahat pada pokok yang besar. UMNO diibarat sebuah pokok besar dan perlu dijaga dengan baik demi kelangsungan hidup orang-orang Melayu. Perjuangan UMNO ini mesti diteruskan, malah perlu kita pastikan ianya tetap relevan dan sehingga kini dan ianya masih menjadi harapan rakyat khususnya demi agama, bangsa dan negara tercinta.

“Saya berharap sangat sokongan padu dan dukungan yang kuat daripada ahli di peringkat akar umbi parti dalam menjayakan misi untuk bangkit kembali ke persada pentas negara.

“Kita perlu bersama-sama mengharungi pahit getir yang menguji kekuatan dan kerukunan kita dalam satu organisasi dan sedarlah bahawa segala cabaran yang timbul, baik dari luar mahupun dalam parti sendiri ia memerlukan kesatuan, pengorbanan dan perpaduan dari semua anggota parti untuk terus bekerjasama dalam memperkukuhkan struktur UMNO demi generasi masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.