Martabatkan Penghayatan Islam Dengan Kewujudan Pra Tahfiz KEMAS, TVET Tahfiz

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi penekanan khusus dalam usaha memartabatkan penghayatan Islam dengan menggerakkan usaha ke arah mewujudkan Pra Tahfiz KEMAS serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dalam satu perkongsian di laman media sosialnya berkata usaha tersebut adalah untuk membina generasi Al-Quran.

“Alhamdulillah, sepanjang tahun 2023, kita berjaya memperkasa penghayatan Islam dan ilmu Al-Quran melalui peruntukan sebanyak RM17 juta untuk program Tahfiz TVET dan RM20 juta program Pra Tahfiz KEMAS yang menyasarkan 100,000 hufaz cilik menjelang tahun 2026.

“Program TVET Tahfiz kini diperluaskan di seluruh institusi pendidikan MARA seperti GiatMARA yang memberikan peluang kepada para pelajar untuk memperoleh lulusan tahfiz termasuk pelajar-pelajar yang tidak memiliki sijil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya.

Jelasnya, penekanan kepada inisiatif ini melalui GiatMARA dapat memastikan para pelajar tahfiz diberikan dan dilatih dengan kemahiran-kemahiran TVET agar mereka tidak tercicir daripada arus perdana dan mampu bersifat mandiri dari segi ekonomi dan kewangan diri dan keluarga.

Perkongsian Ahmad Zahid di Facebook mengenai perkara tersebut mendapat reaksi positif pelayar maya di ruangan komen yang memuji usaha ke arah membina keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi dalam kalangan anak-anak muda dan generasi akan datang.

Begitu juga mereka mendoakan agar usaha melahirkan para hufaz profesional itu dipermudahkan dan menjadi realiti pada masa akan datang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.