Kestabilan Politik Negara Kunci Utama Tingkatkan Keyakinan Pelabur – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Kestabilan politik adalah kunci utama bagi menambah kekuatan kepada ekonomi dan meningkatkan keyakinan pelabur kepada negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berkata, kerajaan yang kukuh dan stabil akan menghasilkan polisi-polisi terbaik sekaligus memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk melabur di negara ini.

“Isu utama sebenarnya ialah ada kaitan kepada kestabilan politik negara. Kestabilan politik itu akan memberikan jaminan atau keyakinan kepada pelabur dan kepada rakyat.

“Kadang-kadang kita jadi terlalu populis kalau kita tak stabillah… ya kita fikir ini isu yang kena buat kalau tidak kerajaan akan terancam.

“Tetapi sekarang dengan majoriti di Parlimen ia beri keyakinan kepada pelabur-pelabur luar, nampaknya kerajaan ini kukuh akan stabil. Oleh itu polisi yang akan diumumkan adalah polisi yang akan memberi fokus jangka masa panjang kepada pembangunan negara, itu yang penting,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook.

Kata beliau lagi, ketika pertemuan dengan duta asing, beliau juga dimaklumkan bahawa kestabilan politik adalah faktor utama yang mendorong syarikat daripada negara mereka untuk melabur.

“Ia adalah antara isu-isu yang dibangkitkan semasa kita jumpa dengan duta asing ini, dia pun bercakap bagi pihak syarikat-syarikat yang mereka berjumpa, pelabur-pelabur di negara masing-masing.

“Kalau kita lihat dari segi konsistensi polisi dia, ada kaitan dengan kestabilan politik,” ujar beliau.

Sementara itu, menerusi hantaran berbeza beliau turut memaklumkan pelaburan naik tujuh peratus, peningkatan tertinggi dalam sepuluh tahun apabila Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan RM225 bilion dalam tempoh sembilan bulan bagi tahun 2023.

Pencapaian terbaik dalam tempoh sedekad itu menyaksikan hampir 90,000 pekerjaan baharu diwujudkan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

Rekod pelaburan diluluskan tertinggi ini adalah lonjakan sebanyak 6.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu atau terbaik berbanding purata sembilan bulan berjumlah RM222.6 bilion dalam sepuluh tahun. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.