Tun M Sindir SPRM Atau Tercabar, Seolah-olah Selepas Ini Giliran Beliau Pula? Puad

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) sengaja menyindir Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya ini kerana kenyataan Tun M berkenaan agar mereka yang digelar ‘Tun’ disiasat  termasuk beliau sendiri dan ditahan reman jika gagal menjelaskan sumber pendapatan.

“Tun M mencadangkan semua yang bergelar Tun disiasat. Tidak perlu dokumen untuk siasat. Memadai syak wasangka untuk mula siasat.

“Menurut Tun lagi kalau sumber aset diragui maka ia mesti disita. Semua bergelar Tun juga mesti direman jika enggan mendedahkan sumber aset itu diperolehi.

“Apakah Tun M menyindir SPRM kerana menyita menara Ilham milik Tun Daim. Atau Tun M tersinggung? Atau tercabar seolah olah selepas ini giliran beliau pula,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Puad yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit malah menyindir dengan berkata era pentadbiran Tun M suatu ketika dahulu yang bertindak mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa pemimpin UMNO.

Menurut beliau ini termasuk tuduhan yang dikenakan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahril Samad.

“Tun kata semua itu ikut “rule of law”. Patutlah Tun M buat cara begitu. Ramai jadi mangsa termasuk Najib dan Shahrir Samad. Dakwa dulu, cari bukti kemudian. Kes money laundering SRC Najib bertahun tangguh. Tahun hadapan baru mula bicara. Akhirnya kes Shahrir Samad digugurkan setelah dimalukan.

“Tetapi eloklah SPRM guna dokumen tulen untuk cari bukti, buat siasatan rapi, jangan guna buruk sangka dan arahan dendam untuk mendakwa.

“Bukan semua Tun mesti disiasat. Ini bukan isu antara dua darjat. Semua orang mesti disiasat termasuk anak, menantu dan kawan rapat,” ujar beliau.

Terdahulu Tun M difahamkan merujuk kepada tindakan SPRM yang menyiasat bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah.

Pada Isnin lalu, SPRM turut menyita Menara Ilham di Jalan Binjai, Kuala Lumpur yang dikatakan milik keluarga Daim berkait dengan siasatan itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.