Pemuda UMNO Terus Bersolidariti, Bantah Kezaliman Rejim Zionis Di Gaza

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia terus menyatakan solidariti kepada rakyat Gaza di Palestin yang masih lagi berhadapan serangan berdarah daripada rejim Zionis Israel yang kini memasuki minggu ke-12.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh ketika menyertai Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin tersebut malam tadi berkata bantahan seperti ini perlu dilakukan secara berterusan demi menyatakan sokongan kepada rakyat Gaza.

Beliau berkata jenayah perang di Gaza ini menuntut kesaksamaan daripada semua lapisan masyarakat untuk berteruskan menyatakan bantahan terhadap penindasan yang berlaku.

“Ini bukan berkenaan politik tapi soal kemanusiaan, saya hendak bagitahu kepada anda semua bahawa anda adalah wira dan wirawati sebenar yang memilih untuk keluar daripada kepompong selesa untuk duduk di sini.

“Walaupun ada yang cakap tak ramai tetapi saya hendak bagitahu kalau tanpa anda tidak mungkin hari ini kesedaran kita nak menentang Israel ini berlaku di negara kita.

“Teruskan jangan pernah mengalah walau apa sekalipun menghalang kita teruskan untuk membantu saudara kita di Palestin,” katanya.

Solidariti ini disertai lebih 70 organisasi termasuk badan bukan kerajaan (NGO), gerakan mahasiswa dan parti politik yang menggesa gencatan senjata dan menghentikan kekejaman dilakukan Israel.

Difahamkan mereka mahu mendirikan khemah di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat untuk bermalam namun tidak dibenarkan dan hanya boleh melakukan tunjuk perasaan tersebut kira-kira 200 meter daripada kedutaan.

Piket berkenaan dilakukan bermula pada Selasa lalu sehingga 31 Disember ini.

Dr Akmal dalam ucapan juga menambah, tindakan kedutaan meletakkan pihak berkuasa di hadapan kedutaan mereka menunjukkan kebaculan kerana tidak mampu berhadapan dengan tekanan yang ditunjukkan peserta piket.

“Hari ini baru sedikit sahaja mereka dah takut letak polis tak benarkan kita dekat dengan kedutaan mereka. Sebenarnya mereka yang bacul sedangkan pada masa yang sama rakyat Palestin dikepung Israel daripada udara, darat mahupun sungai.

“Mereka (rakyat Gaza) tidak dibenarkan untuk keluar, bantuan kemanusiaan tidak dibenarkan untuk masuk,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Akmal turut sama menyeru Pemuda UMNO seluruh Malaysia menyertai solidariti ini sehingga ke hari terakhir termasuk ketika ambang tahun baharu bagi menyatakan bantahan terhadap peperangan di Gaza. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.