Usaha Bantu Ringankan Beban Diaplikasi Menerusi Program Peduli Rakyat Labuan

LABUAN, 27 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan memaklumkan bahawa usaha bagi meringankan beban rakyat sentiasa diaplikasi sebagaimana langkah proaktif digerakkan di seluruh peringkat.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan memaklumkan, di kawasan terbabit gerakan secara konsisten dibuat dengan berkunjung dan menyampaikan bantuan beras kepada mana-mana ahli keluarga yang bakal mengadakan majlis perkahwinan.

“Alhamdulillah, baru-baru ini UMNO Bahagian Labuan berkunjung dan seterusnya menyampaikan sumbangan 1,300 kg beras kepada 13 keluarga yang akan mengadakan majlis perkahwinan anak mereka pada minggu depan.

“Ini adalah usaha dan semoga bantuan beras ini dapat meringankan beban keluarga serta mendekatkan UMNO Labuan dengan masyarakat di sini.

“Biarpun negara berdepan masalah isu kenaikan harga dan kekurangan bekalan beras namun hal ini tidak membantutkan program Peduli Rakyat UMNO Bahagian Labuan yang membabitkan agihan bantuan beras kepada masyarakat,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam masa yang sama beliau merakamkan penghargaan dan mengucapkan syabas kepada ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Labuan yang sentiasa komited meneruskan gerak kerja demi keselesaan rakyat.

“Saya amat menghargai sokongan dari sahabat-sahabat dalam UMNO Labuan sendiri yang menunjukkan muafakat apabila beramai-ramai bersama-sama turun padang menyampaikan bantuan dan menjayakan Program Peduli Rakyat.”

Dalam hal berlainan, Mohd Rafi juga mengharapkan agar kerajaan dapat meningkatkan gerak kerja dan aktiviti yang dilaksanakan melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan sokongan kerajaan bagi meningkatkan kemahiran golongan wanita.

“KEMAS misalnya dapat memberikan kemahiran misalnya membuat kuih-muih dan sebagainya agar mereka dapat meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.