UMNO Tunai Janji, Realitikan Khidmat Demi Keselesaan Rakyat – Sharif Musa

LAHAD DATU, 27 Dis – UMNO adalah parti yang sentiasa mengutamakan keselesaan rakyat malah akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan masyarakat mendapat kemudahan yang terbaik, kata Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul.

Beliau memaklumkan bahawa usaha turun padang yang dilaksanakannya bukan sekadar menyantuni orang ramai namun turut meninjau, melihat dan merasai sendiri bagaimana kehidupan masyarakat di akar umbi.

“Saya turun berjumpa dengan orang ramai, menerima pelbagai aduan dan meninjau sendiri keadaan yang perlukan perhatian segera iaitu keutamaan kepada keselamatan dan keselesaan penduduk.

“Ini termasuklah yang terbaharu memperbaiki jambatan di Kampung Wawasan Lahad Datu yang terlalu uzur untuk digunakan bagi aktiviti harian penduduk di sini sedangkan sebelum ini mereka telah disajikan dengan pelbagai janji oleh pihak tertentu namun tidak ditunaikan.

“Demi keselamatan rakyat, UMNO Bahagian Lahad Datu mengambil tanggungjawab apatah lagi sebelum ini dilaporkan sudah ramai anak-anak sekolah dan orang awam yang jatuh ketika melintasi jambatan ini,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, peruntukan kewangan bagi membaiki jambatan tersebut telah diberi dan jambatan terbabit telah dibaiki demi keselesaan penduduk.

“Insya-Allah, sebagai Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, saya dan rakan-rakan dalam Bahagian, akan perjuangkan jambatan konkrit agar keadaan lebih baik dan lebih selesa untuk jangka masa panjang.

“Saya akan usahakan agar permohonan ini sampai kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada tahun hadapan.”

Dalam masa yang sama, Sharif Musa melahirkan rasa gembira kerana UMNO semakin mendapat sokongan daripada rakyat.

“UMNO terus mendapat sokongan malah dari masa ke masa ada sahaja permintaan untuk menjadi ahli parti dan akan datang, insya-Allah kita akan mendapat pertambahan jumlah ahli yang lebih besar,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.