Realisasikan Konsep Masyarakat Penyayang, Badan NGO Berperanan Bantu Kebajikan Rumah Anak-Anak Yatim

KUDAT, 27 Dis – Badan bukan kerajaan (NGO), persatuan, pertubuhan dan parti politik diminta memainkan peranan membantu rumah anak-anak yatim dan kebajikan bagi merealisasikan konsep masyarakat penyayang.

Ketua Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Hajah Siti Aminah Aching berkata, usaha ini dapat membantu memberikan sokongan kepada kerajaan dalam membantu golongan sasaran yang memerlukan.

“Kita tidak menafikan saban tahun kerajaan turut menyalurkan dana bantuan kepada rumah-rumah kebajikan termasuklah rumah anak yatim. Bagaimanapun sudah tentu ianya tidak mencukupi untuk pengurusan rumah-rumah kebajikan di seluruh negeri ini dengan cabaran kenaikan kos sara hidup,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai program Jelajah Wanita USIA melawat Rumah Anak Yatim Baithul Hidayah dekat sini kemarin.

Hadir sama Ketua USIA bahagian Kudat OKK Jasni Eser, Timbalan Ketua USIA Kudat OKK Aliasgar Alibasa, Ketua Wanita USIA Kudat Hajah Jorpah Haji Mustapha dan Setiausaha dan Pengurus Rumah Anak-Anak Yatim Baithul Hidayah Kudat Awang Lahaji Rokimin.

Menurut Siti Aminah yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, kerajaan bertanggungjawab untuk mencapai keterangkuman sosial bagi mengintegrasikan golongan kurang bernasib baik termasuk anak-anak yatim, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan masyarakat terpinggir bagi memastikan mereka lebih produktif.

Siti Amina berkata tidak dinafikan, ada sesetengah perkara dalam masyarakat tidak boleh dan tidak mampu ditangani kerajaan secara bersendirian.

“Di samping perlu menghadapi isu makro seperti masalah pendidikan, peluang pekerjaan, pembasmian kemiskinan, peningkatan kualiti penjagaan dan sebagainya. Kerajaan juga perlu memikirkan formula membantu kebajikan anak-anak yatim piatu, warga tua tersisih, ibu tunggal, OKU dan sebagainya.

“Maka, di sinilah pentingnya peranan NGO, individu dan masyarakat untuk menjadi rakan kongsi aktif pembangunan dengan berganding bahu menyumbangkan idea, tenaga atau wang atas semangat kemasyarakatan. Yang lebih penting, atas rasa ihsan, kasih sayang dan nilai kemanusiaan,” katanya lagi.

Tambah beliau sifat kasih sayang dan penyayang amat dituntut dalam setiap agama khususnya Islam dan melalui kasih sayang dan penyayang, hubungan manusia akan lebih kukuh dan bahagia kerana ia menyatukan mereka ketika susah dan senang.

“Lebih penting, sifat penyayang dan kasih sayang ini akan membantu Malaysia menjadi negara maju secara holistik sejajar gagasan Malaysia Madani iaitu mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang,” katanya.

Dalam perkembangan lain Siti Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort turut meminta Wanita USIA di seluruh bahagian agar terus aktif menganjurkan program-program keagamaan khususnya mendekati dan membimbing saudara baru.

“Banyak program kitab boleh dianjurkan untuk mendekati golongan ini seperti menganjurkan kursus fardu ain atau fardu kiyafah dan program-program yang boleh meningkatkan ilmu serta kefahaman mereka tentang Islam,” katanya.

Di majlis tersebut Siti Aminah juga menyampaikan sumbangan kepada Rumah Anak-Anak Yatim Baithul Hidayah dan anak-anak yatim yang tinggal di rumah tersebut. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.