Polemik Pilihan Raya Kerajaan Tempatan Tidak Jejas Usaha Tumpu Perancangan Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Polemik berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan diharap tidak menjejaskan sebarang usaha kerajaan hari ini dalam usaha meningkatkan lagi keupayaan segala perancangan serta perlaksanaan pelbagai program untuk rakyat di negara ini.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berkata apa yang utama hari ini sudah pasti tumpuannya adalah terhadap kepentingan rakyat pelbagai peringkat dengan segala cabaran bentuk ekonomi yang melanda.

Jadi tambahnya berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan usahlah menjadi topik utama kerajaan kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan hubungan yang ada apatah lagi pelbagai persepsi akan terus bermain di fikiran rakyat.

“Walaupun secara kebetulan atau pelbagai alasan lain yang diutarakan ini tidak seharusnya menjadi topik atau keutamaan kita pada hari ini.

“Malah daripada satu sudut semua ini hanya akan memberi laba politik kepada pihak lain kerana ia akan menguatkan sokongan pengundi bukan Melayu kepada mereka tetapi ia akan mendatangkan bala politik kepada UMNO yang tentunya akan melemahkan sokongan pengundi Melayu.

“Jadi berbalik kepada asal apa yang diutarakan tadi polemik berkaitan pilihan raya tempatan tidak seharusnya menjadi keutamaan sebaliknya kerajaan yang ada kini perlu mengorak langkah ke depan membantu dan mencari jalan penyelesaian kepada isu-isu yang berbangkit terutama berkaitan ekonomi rakyat,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tambah Norshida lagi Konvensyen Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei lalu yang dihadiri pemimpin membentuk kerajaan hari ini antara lain adalah sama-sama bertekad untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan memastikan peningkatan pendapatan dan ekonomi masyarakat.

“Jadi tumpulah kepada apa yang diungkapkan itu… tumpulah juga kepada perancangan yang terkandung di dalam Belanjawan 2024 yang telah dibentangkan sebelum ini.

“Pada saya banyak lagi yang perlu diberi tumpuan dan insya-Allah segala perancangan berkenaan mampu memberi seribu satu faedah yang amat besar untuk rakyat seluruhnya,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.