Negeri Sembilan Serius Sifarkan Miskin Tegar – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata hubungan erat antara kerajaan negeri dan pusat amat penting dalam usaha melancarkan lagi segala perancangan serta pelbagai perlaksanaan yang akan dilakukan.

Justeru beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan memaklumkan amat konsisten dengan perkara berkenaan malah segala pandangan bahawa ianya perlu diperkemaskan setiap masa amat bertepatan. 

“Alhamdulillah hubungan yang ada hari ini dapat memacu usaha kerajaan Negeri Sembilan dalam pelbagai cabang dan sektor yang ingin dilaksanakan termasuklah memerangi miskin tegar.”

Katanya, keseriusan Kerajaan Madani Negeri Sembilan dalam memerangi miskin tegar jelas terpampang melalui kenyataan ‘sifar miskin tegar’ oleh Menteri Besar pada 22 Disember 2023.

“Seperti yang dimaklumkan dan dilaporkan menerusi media, sasaran tersebut telah berjaya dilaksanakan oleh kerajaan negeri melibatkan 3,530 Ketua Isi Rumah (KIR).

“Yang pastinya, selaku exco yang bertanggungjawab terhadap pembangunan luar bandar (kawasan terbesar yang menerima impak kemiskinan tegar), saya dan pasukan akan meneruskan agenda dan gerak kerja menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat Negeri Sembilan bagi tahun-tahun mendatang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sejajar itu, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu bertekad untuk memastikan segala ruang diusahakan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Seiring dengan itu jugalah, saya konsisten dengan pandangan bahawa hubungan erat dan bersepadu antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri harus diperkemaskan pada setiap keadaan demi memakmurkan agenda pemerkasaan rakyat sejagat.

“Semoga Negeri Sembilan mampu menjadi sebuah negeri contoh dalam soal mengangkat harakat kehidupan, berpaksikan acuan Madani, insya-Allah,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.