Nasihat Utamakan Keselamatan Sepanjang Musim Banjir – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan kepada rakyat terutama yang berada di kawasan rendah dan berisiko banjir untuk peka dan sentiasa berhati-hati ekoran hujan lebat yang melanda di beberapa kawasan itu.

Katanya, langkah ini penting bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga terjamin daripada sebarang bentuk musibah yang lebih besar seperti kehilangan nyawa.

“Berikutan peningkatan jumlah hujan serta kejadian banjir yang berlaku di beberapa kawasan di Negeri Pahang, saya ingin terus menasihati rakyat negeri ini terutamanya di kawasan berisiko untuk bersiap sedia berpindah ke pusat-pusat pemindahan apabila diarahkan oleh pihak berkuasa.

“Saya juga mengingatkan agar penduduk negeri ini tidak turun ke sungai untuk menangkap ikan kerana kita bimbang kejadian-kejadian yang tidak diduga boleh berlaku,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, beliau turut sama berharap mangsa banjir untuk memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan bersabar dengan bencana alam yang melanda.

“Kepada mereka yang telah berpindah ke PPS, saya berharap anda semua terus bersabar dan insya-Allah segala keperluan di sini telah pun disediakan.

“Pasukan penyelamat dan pasukan keselamatan, teruskan khidmat bakti demi memastikan keselamatan rakyat negeri ini terjaga dan saya menghargai pengorbanan yang telah dicurahkan oleh anda semua.

“Marilah kita berdoa semoga Allah SWT melindungi rakyat dan negeri ini daripada sebarang bentuk bencana dan malapetaka,” ujar beliau.

Untuk rekod, jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat dengan seramai 700 penduduk terjejas daripada 171 buah keluarga ditempatkan di 15 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah sehingga pukul 8 pagi ini.

Pertambahan mangsa berikutan masing-masing sebuah lagi PPS telah dibuka di Lipis dan Raub termasuk pertambahan bilangan mangsa yang dipindahkan di beberapa PPS lain di kedua-dua daerah tersebut.

Jurucakap Sekretariat Jawatan Kuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, mangsa banjir di PPS dua daerah tersebut telah menerima bantuan makanan serta kebajikan mereka dipantau oleh Jawatan Kuasa Pengurusan Banjir Daerah (JPBD), pihak berkuasa unit beruniform, Balai Penghulu Mukim dan Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung sejurus ditempatkan di situ. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.