Mohd Shahar Luah Kebimbangan, Air Sungai Riau Mula Melimpah Ke Jalan Raya

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah hari ini meninjau ke kawasan sekitar Sungai Riau yang dilaporkan air sungai mula melimpah ke jalan raya utama.

Beliau menasihati penduduk di sekitar yang menaiki kenderaan ringan untuk berhati-hati ketika melalui jalan tersebut.

“Saya menerima laporan tentang air yang naik di Sungai Riau menuju ke Bukit Kuin jadi saya segera ke sana untuk memantau situasi yang berlaku.

“Air yang naik telah menyukarkan kenderaan ringan untuk melalui jalan tersebut atas faktor keselamatan dan saya menasihati agar semua pengguna jalan ini supaya berhati-hati.

“Saya harap agar semua pengguna jalanraya dapat beri kerjasama kepada pihak berkuasa serta para sukarelawan dan dengar arahan mereka untuk mengelakkan kecelakaan berlaku apabila arus semakin deras nanti,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Menerusi hantaran sebelumnya, Mohd Shahar yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar turut memaklumkan tinjauannya ke kawasan sekitar Lupuk Puyu, Kampung Chendering dan Kampung Baru Pandan 2 setelah mendapat aduan tentang jalan rosak disebabkan paip bocor.

Menurut beliau, pihaknya juga sudah menghubungi agensi yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara ini demi keselamatan pengguna jalan raya.

“Saya juga meninjau keadaan di longkang di Lubuk Puyu serta parit Kampung Chendering yang sebelum ini telah dinaiktaraf bagi mengelakkan banjir di sini.

“Alhamdulillah, kita dapat lihat keberkesanan pelebaran parit Kampung Chendering untuk menampung air ketika musim tengkujuh ini tetapi kita harus sentiasa berwaspada jika air melimpah.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) kerana mengusahakan pelebaran parit ini demi kesejahteraan penduduk sekitar. Semoga kita dapat mengelak daripada banjir kali ini,” luah beliau.

Sementara itu, Mohd Shahar juga berkesempatan ke Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Pandan untuk meninjau keadaan air di Sungai Pandan.

Katanya PAKR Sungai Pandan yang terletak di sebelah Sungai Pandan mempunyai risiko banjir paling tinggi di kawasan ini.

“Sebelum ini, 100 peratus penduduk PAKR Pandan terjejas akibat banjir dan kos pembaikan rumah dan pembersihan amatlah tinggi selepas banjir surut.

“Alhamdulillah, dengan adanya pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di sini, kita dapat kurangkan risiko banjir kepada penduduk PAKR Pandan dan kawasan sekitar.

“Saya mengambil kesempatan untuk update sikit tentang projek ini kepada penduduk yang turut sertai saya tadi.

“Saya harap semua penduduk dapat bersiap sedia jika berlakunya banjir di sini. Insya-Allah tak lama lagi kita akan lihat RTB ni dilaksanakan sekaligus mengelakkan banjir di sini,” katanya lagi.

Setakat 4 petang tadi, JPS memaklumkan sebanyak enam sungai di Pahang telah melebihi aras bahaya petang tadi.

Menerusi laman sesawang JPS menyenaraikan sungai tersebut iaitu Sungai Tembeling di Kampung Bantal Seberang, Sungai Luit di Kampung Subuh dan Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia.

Diikuti dengan Sungai Pukin, Sungai Lembing dan Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.