Malaysia Madani Hargai Ragam Budaya Dan Agama, Raikan Kepelbagaian Kaum

PENAMPANG, 26 Dis – Usaha untuk membangun Malaysia Madani yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan kesediaan untuk mengakui, menghargai, dan meraikan keragaman budaya dan agama, sambil mencipta ruang bagi semua warganegara berganding bahu dalam arus pembangunan negara.

Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris berkata, perpaduan yang kuat akan membawa negara ini melewati pelbagai rintangan dan berbekalkan semangat perpaduan dengan Malaysia mampu menonjol sebagai negara contoh kepada negara lain.

“Perpaduan bukan perkara boleh diambil mudah. Ia memerlukan usaha dan komitmen kukuh serta bersedia untuk mendengar dan belajar sesama kita.

“Proses ini pasti berdepan dengan cabaran dan rintangan, tetapi dengan tekad mantap, hasil tercapai kelak akan jauh menjadi lebih bererti bagi merealisasikan Malaysia Madani yang sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Santai Krismas dan penyampaian sumbangan untuk ahli jawatankuasa dan Ketua-ketua Cawangan Wanita UMNO bahagian Penampang yang meraikan sambutan Krismas dekat sini, kelmarin.

Menurut Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Penampang, sebagai negara yang didiami berbilang-bilang etnik, budaya dan agama, inti pati perpaduan menjadi tekad bagi menggerakkan harapan masyarakat untuk masa hadapan lebih baik.

Sehubungan itu beliau mengajak rakyat agar menjadikan sambutan Hari Krismas sebagai wadah terbaik dalam menjalin hubungan harmoni dan memperkukuhkan perpaduan melalui konsep berkongsi perayaan.

“Konsep Malaysia Madani menjelma sebagai prinsip mendorong kesepakatan, mencetuskan kerjasama antara pelbagai etnik dan mewujudkan citra perpaduan negara, justeru amalan berkongsi perayaan dan budaya kunjungi mengunjungi perlu terus dikekalkan bagi mengeratkan lagi persefahaman dan perpaduan,” katanya.

Noraini menambah dalam menghadapi pelbagai cabaran global seperti perubahan iklim, ketidakstabilan ekonomi dan ketidaksefahaman kaum serta perbezaan budaya, perpaduan adalah aset tidak ternilai harganya.

“Hanya dengan bersatu dan bekerjasama, Malaysia dapat mencapai perubahan positif serta mewujudkan harapan lebih baik kepada generasi mendatang,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.