Kembalikan Kekuatan UMNO, Hidupkan Semangat Perjuangan Dengan Aktifkan Cawangan – Jeffrey Nor

PUTATAN, 26 Dis – Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Negeri Sabah, Jeffrey Nor Mohamed menegaskan bahawa nilai perjuangan dalam UMNO perlu diteruskan dengan mengaktifkan gerak kerja parti bukan sahaja di peringkat bahagian tetapi juga di akar umbi yang melibatkan anggota cawangan-cawangan parti.

Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan, banyak cawangan UMNO yang sebelum ini tidak aktif selepas kekalahan Barisan Nasional (BN)/UMNO pada 2018 telah mula kembali melaksanakan gerak kerja.

“Alhamdulillah, ahli-ahli UMNO terutamanya di peringkat cawangan menunjukkan semangat dan sokongan untuk kembali menjadikan UMNO kukuh sebagaimana yang berlaku di Kampung Meruntum di sini apabila inisiatif untuk menghidupkan kembali UMNO telah digerakkan.

“Bukan itu sahaja, lebih bermakna apabila ada bersama ahli-ahli baharu yang bersedia bersama-sama meneruskan perjuangan kerana sedar bahawa roh perjuangan yang ada dalam UMNO telah sebati dengan masyarakat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau menjelaskan bahawa soal roh perjuangan dengan tulus dan ikhlas yang ada dalam UMNO adalah perkara yang perlu dititikberatkan.

Dalam masa yang sama, Jeffrey Nor turut merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada ahli jawatankuasanya yang sentiasa sepakat untuk menjayakan pelbagai program bersama masyarakat setempat.

“Terima kasih sahabat-sahabat semua yang sentiasa menyokong apa-apa usaha untuk rakyat, dari pagi sehingga malam dapat meluangkan masa bersama dalam program-program yang diatur.

“Insya-Allah, kita atur gerak kerja dan teruskan usaha menambahkan sokongan kepada parti kita dengan mengaplikasi semangat yang ada dalam UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.