Azalina Terus Khidmat Bakti Di Pengerang, Anjur Gunting Rambut Percuma Untuk Pelajar Sekolah

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berbesar hati melaksanakan program Gunting Rambut Percuma 2.0 Parlimen Pengerang.

Program yang bermula sejak 21 Disember hingga 31 Januari itu diadakan di Wisma Adela, sebagai persediaan kepada pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan pada awal Januari.

Katanya, ia menyasarkan pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kalangan B40 dan melibatkan kerjasama daripada penggunting rambut di sekitar kawasan Parlimen tersebut.

Menurut Azalina program seumpama ini bukan hanya membantu para pelajar untuk menerima servis potong rambut percuma, bahkan menjana pendapatan buat para penggunting rambut.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua, kita bekerjasama dengan penggunting-penggunting rambut tetapi fokus kepada B40 di kawasan luar bandar iaitu sekolah rendah dan menengah,” kata Azalina menerusi satu hantaran video yang dimuatnaik di Facebook beliau.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) meluahkan penghargaan kepada rakyat Pengerang yang memberikan peluang kepada beliau menabur bakti di Pengerang.

Katanya, sebagai ahli Parlimen daripada kerajaan pelbagai agenda kebajikan rakyat dan pembangunan mampu dilaksanakan untuk manfaat penduduk tempatan.

“Saya boleh buat dan melaksanakan tanggungjawab sebab kawasan saya Parlimen Pengerang selamat, aman damai kerana anda membantu saya menjadi mata dan telinga rakyat di sini,” ujar beliau.

Menerusi tinjauan dalam kalangan pengunting rambut yang menyertai program itu, mereka meluahkan kesyukuran kerana diberi kepercayaan untuk terlibat dalam acara seperti ini yang diadakan pada setiap tahun. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.