PN Kelirukan Rakyat, Cita-Cita Ingin Tukar Kerajaan… Biarlah Rakyat Menilai – Zawawi

PASIR PUTEH, 25 Dis – Biarlah rakyat menilai tindakan Pas/Perikatan Nasional (PN) yang masih bercita-cita untuk menukar kerajaan dan mengelirukan rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman.

Tegasnya, PN sebenarnya masih berasa kecewa kerana tidak berjaya memegang tampuk kepimpinan negara seusai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu.

“Tidak mengapa, biar dia (PN) nak tukar kerajaan. Pada pandangan saya, biarkanlah kerja dia nak tukar kerajaan. Biar rakyat menilai apakah mereka ingin menukar kerajaan dalam konteks merampas ataupun mencalarkan politik negara.

“Mereka sebenarnya kecewa pada PRU ke-15 baru-baru ini, mereka sangat-sangat nak jadi kerajaan, perdana menteri dan menteri-menteri sehingga sanggup membuat perjanjian di belakang dengan ahli-ahli parlimen daripada UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Inilah yang akhirnya menjadikan mereka sebagai pembangkang. Kalau kita lihat, UMNO ini apabila ditanya untuk mendirikan Kerajaan Perpaduan, ekoran daripada perangai jahat PN yang membuat rundingan di belakang tabir membuatkan UMNO/BN membuat keputusan menolak gabungan dengan PN,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, tindakan Pas melakukan rundingan secara sembunyi-sembunyi dengan beberapa ahli parlimen UMNO/BN menyebabkan mereka menerima padahnya.

“Kita bukan menerima gabungan dengan PH tetapi keputusan kita menolak untuk bergabung dengan PN kerana sesiapa pun yang menjadi pemimpin UMNO akan terasa apabila ‘isteri’ kita diambil orang dalam keadaan kita tiada di rumah. Inilah perumpamaannya.

“Apa yang berlaku pada ketika itu apabila PN mengambil kesempatan secara belakang untuk mengajak ahli-ahli parlimen kita mendirikan kerajaan bersama mereka sehingga meninggalkan institusi mereka sendiri, parti UMNO. Akhir sekali, mereka yang menerima padah.

“Hari ini mereka mengatakan UMNO/Dap. Kalau itu yang mereka nak kata, katakanlah. Rakyat nilailah. Semasa Dap dengan Pas macam mana? Kedua-dua ini pernah bersama dengan Dap. Muhyiddin dan PPBM pun pernah bersama Dap. Begitu juga dengan Mahathir, apatah lagi Pas,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa Pas juga pernah berkerjasama dengan Dap ketika berada dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Dalam PR dahulu pun mereka bersama dengan Dap. Jadi, semasa mereka bersama dengan Dap tidak salah. Semasa kita bersama dengan Dap walaupun kita tidak memilih Dap adalah salah. Walhal, mereka dahulu memilih Dap.

“UMNO tidak memilih Dap tetapi menolak PN dan secara automatiknya bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dan Dap berada dalam gabungan tersebut. Tidak ada pun macam PR. PR gabungan antara Pas, Pkr dan juga Dap.

“Hari ini, Kerajaan Perpaduan ini gabungan di antara BN dengan PH. Tidak ada pun gabungan di antara UMNO dan Dap. Ini yang kita kena fahami. Pas yang mencanangkan ‘UMDap’, padahal ‘PasDap’ pun lama dah. Sebab itu bagi saya, ‘PasDap’ lama dah.

“Sehinggakan ada tanah-tanah di Kelantan yang menjadi kubu kuat Pas diberi kepada rakan-rakan ketika PR. UMNO tidak pernah pun memberi seinci tanah kepada Dap… tetapi Pas beribu ekar bagi,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.