Pemimpin UMNO Wujudkan Kestabilan, Keseimbangan Pentadbiran Kerajaan – Mohmed Puzi

KUALA LUMPUR, 25 Dis – Tertubuhnya Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Madani ini antaranya disebabkan penyertaan UMNO dalam melahirkan sebuah kerajaan yang stabil dan juga strategik, kata Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.

Jelas beliau, pada penggal kerajaan sebelum ini, berlaku ketidakstabilan politik yang menyaksikan berlakunya situasi tidak menentu seperti lompat parti, perpecahan parti, dan kewujudan serpihan parti sekaligus menyebabkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan bertukar sebanyak tiga kali serta pentadbiran kerajaan terumbang-ambing.

“Dengan adanya kepimpinan UMNO dalam kerajaan sekarang wujud keseimbangan dalam pentadbiran yang menstabilkan kerajaan.

“Kita boleh menarik nafas lega kerana tiada lagi situasi ketidaktenteraman politik yang menyebabkan berlakunya ketidakstabilan yang mengganggu gugat perjalanan pentadbiran negara yang turut mengancam kestabilan ekonomi dan sosio politik seperti sebelum ini.

“Setiap pemimpin ini juga mempunyai kepakaran dan kebolehan masing-masing bagi setiap jawatan yang disandang sekaligus membawa suara rakyat dari pelbagai sudut supaya setiap keputusan dan perlaksanaan oleh kerajaan dapat diseimbangkan dalam menjaga kepentingan rakyat dan bukan demi parti semata-mata,” katanya.

Seterusnya kata Mohmed Puzi, dalam tempoh setahun ini banyak pencapaian kerajaan yang berjaya dicapai menerusi pelbagai inisiatif.

“Antaranya yang dapat dilihat secara jelas dan menyeluruh adalah inisiatif Rahmah menerusi pakej Menu Rahmah, Bakul Rahmah, dan Jualan Rahmah yang mendapat sambutan baik dan juga memberikan faedah kepada rakyat kurang berkemampuan khususnya B40 dan miskin tegar.

“Ekonomi negara memperlihatkan perkembangan 3.9 peratus bagi suku ketiga tahun 2024. Selain tekanan inflasi juga telah diredakan sehingga pada tahap 1.8 peratus setakat Oktober 2023 berbanding 4 peratus semasa Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran.

“Walaupun Kerajaan Madani ditubuhkan dalam situasi ketidaktentuan global namun berjaya mengukuhkan serta meningkatkan kemasukan pelaburan asing dengan nilai yang tinggi iaitu kira-kira RM347 bilion yang diraih di China, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Amerika Syarikat,” jelasnya .

Ujarnya, walaupun ada dasar tidak popular dilaksanakan, namun, secara keseluruhannya ia memberi impak yang positif kepada pentadbiran dan pembangunan sosio ekonomi negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.