Pelihara Kepelbagaian Kaum, Elak Keruhkan Keharmonian Rakyat – Siti Aminah

KUALA PENYU, 25 Dis – Rakyat diingatkan agar tidak memandang ringan soal menjaga hubungan antara masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya di negara ini kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk dikekalkan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching berkata, walaupun kini rakyat Malaysia bertuah kerana masih dapat meraikan pelbagai perayaan termasuk Krismas, Hari Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan lain-lain lagi dengan penuh harmoni dan aman, namun keadaan mungkin tidak sentiasa begitu jika tidak dipelihara.

Ini kerana, katanya, ada pihak yang cuba mengeruhkan keharmonian ini untuk tujuan tertentu, maka rakyat diharap tidak membiarkan diri mereka terhasut dengan perkara sebegitu.

“Dalam sebuah negara yang rakyatnya berbilang-bilang kaum dan agama, khsususnya di Sabah yang memiliki lebih dari 33 etnik, kita dapat meraikan kepelbagaian ini, dengan penuh keharmonian dan keamanan. Ini merupakan satu perkara yang biasa bagi kita.

“Tetapi ia tidak sentiasa begitu. Menjaga hubungan antara rakyat berlainan kaum, agama dan budaya, bukanlah satu perkara yang mudah dan kita tidak boleh pandang ringan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengagih-agihkan sumbangan hamper dan bantuan kewangan bersempena sambutan Krismas di 23 buah gereja di daerah Kuala Penyu kelmarin.

Sehubungan itu, Siti Aminah menyeru seluruh rakyat untuk sama-sama berikrar bagi saling menjaga keharmonian, kestabilan dan keamanan di negara ini.

Beliau turut berharap seluruh rakyat dapat meneruskan tradisi mengunjungi rumah terbuka rakan dan taulan sempena sambutan Krismas tahun ini.

“Teruskanlah budaya kunjung mengunjungi berkongsi perayaan, ambillah peluang untuk kukuhkan lagi tali persaudaraan sesama kita rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut beliau keharmonian dan perpaduan kaum amat penting untuk menjana kestabilan politik dan kemajuan negara dalam merealisasikan masyarakat Malaysia Madani. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.