Kabinet Baharu Usaha Terbaik PM, Kukuh Pentadbiran Sesuai Dengan Tuntutan Dan Keperluan Semasa

KUALA LUMPUR, 25 Dis – Rombakan Kabinet yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah usaha terbaik untuk memperkukuh pentadbiran sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa, kata Ketua UMNO Bahagian Beruas, Senator Datuk Dr Azhar Ahmad.

Katanya, ini termasuk pertukaran portfolio dalam kalangan menteri-menteri sedia ada dan penambahan beberapa kepimpinan parti termasuk UMNO/Barisan Nasional (BN) yang dilihat berupaya membawa negara ke landasan terbaik rentetan pergelutan ekonomi dunia selepas mengharungi pasca krisis COVID-19.

“Beberapa rotation itu perkara biasa, Perdana Menteri membuat rombakan maksudnya hendak memperkemaskan jentera pentadbiran kerajaan yang mana longgar dipaku semula jadi hari ini beliau memperkemaskan anggota Kabinet dipimpin oleh beliau.

“Tentulah Perdana Menteri teramat bijaksana dalam meletakkan pemimpin yang sesuai dengan Kabinetnya untuk bawa negara ini keluar daripada kepompong ekonomi, hubungan luar, termasuk Ukraine dan perang di Gaza.

“Semua ini terjadi dalam masa yang sederap selepas sahaja COVID-19 ini pula terjadi tentunya ia menjadi cabaran yang hebat kepada seorang Perdana Menteri untuk mengemudi sebuah negara seperti Malaysia yang berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Dengan menteri Kabinet solid ini, insya-Allah beliau akan berjaya membawa negara menjadi kuasa ekonomi seperti mana dahulu,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Menurut beliau, komposisi kaum yang membarisi Kabinet juga adalah adil dan memperlihatkan majoritinya dianggotai oleh kepimpinan berbangsa Melayu, namun kekal setara dengan kedudukan parti-parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan.

“Inilah rupa bentuk negara Malaysia yang perlu kita bawa ada orang Melayu, tentulah orang Melayu menjadi majoritas kepada komposisi kaum. Kalau mengikut Perlembagaan 68 peratus tentulah menteri daripada UMNO dan Pakatan Harapan (PH) lebih daripada yang lain.

“Seorang sahaja yang digugurkan daripada Dap namun tambah seorang juga daripada parti yang sama. Jadi Kabinet sekarang saya melihat dalam komposisi kaum lebih kurang mengikut Perlembagaan, daripada parti-parti yang menganggotai PH pun saya nampak setara dan adil,” ujar beliau.

Mengulas lanjut berkenaan penyertaan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dan Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Timbalan Menteri Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Azhar berkata ianya menandakan kepercayaan Perdana Menteri kepada pemimpin UMNO.

Malah beliau percaya keupayaan kedua-dua pemimpin tersebut berdasarkan pengalaman dimiliki ketika era pentadbiran kerajaan terdahulu yang semestinya menjadi pemangkin kepada Kerajaan Perpaduan.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan kebijaksanaan yang ada akhirnya UMNO/BN dapat menteri dan timbalan, kebijaksanaan seorang presiden walaupun orang kata macam-macam tapi kita tetap menjadi sebahagian kerajaan.

“Keyakinan Perdana Menteri kepada UMNO sebab itu beliau lantik Johari Abdul Ghani seperti kita tahu merupakan pakar ekonomi UMNO dan saya yakin kementerian yang diberi amanah kepada beliau iaitu Perladangan dan Komoditi.

“Beliau boleh bawa bahan mentah, komoditi negara sampai peringkat luar negara kerana beliau merupakan seorang yang ekonomis, memang saya rasa dia akan buat pusingan terbaik. Tambah pula dia adalah Naib Presiden, pemimpin kanan dalam UMNO.

“Manakala Noraini pula adalah Ketua Wanita UMNO Malaysia tentunya akan bersama dengan menteri, Datuk Seri Nancy Shukri. Sudah tentu kita akui beliau sangat berpengalaman kerana sebelum ini pun menjadi menteri Kementerian Pengajian Tinggi.

“Jadi atas keyakinan itu kita nampak Perdana Menteri sangat yakin dan percaya kepada kepimpinan UMNO. Namun tentunya restu daripada Presiden kalau tidak mana mungkin kita dapat lagi dua menteri, tentunya perbincangan yang bijaksana di antara presiden dengan Perdana Menteri sehingga membuahkan hasil kepada pelantikan tersebut,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.