UMNO Parti Yang Mengutamakan Khidmat Bakti, Selami Masalah Rakyat – Nik Mohd Nadzri

KENINGAU, 24 Dis – UMNO berjaya menjadi sebuah parti yang besar pengaruhnya kerana keutamannya adalah sentiasa fokus untuk khidmat kepada rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Keningau, Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi berkata ‘berkhidmat’ antara salah satu slogan parti yang telah menjadi budaya sejak ianya ditubuhkan sehingga kini malah meletakan UMNO kekal relevan sehingga ke hari ini.

“Sehingga ke hari ini UMNO masih wujud dan kita akan pertahankan UMNO sebagai sebuah parti yang memberi khidmat kepada rakyat malah saya yakin bahawa rakyat juga akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada parti terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan kerja-kerja pembaikan jalan raya ke Kampung Naundarangan sepanjang tujuh kilometer yang turut melibatkan lima buah kampung lain iaitu Kampung Muhibah, Patikan Ulu, Patikang Laut dan Agudon.

Menurut Nik Mohd Nadzri walaupun UMNO menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan selepas kekalahan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 namun cabaran serta dugaan tersebut dilalui dengan penuh istiqamah.

“Sehingga kini UMNO masih bertahan kerana ahli dan pendukung parti yang setia dan berprinsip, merasai apa yang dilakukan oleh parti untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Mengenang kembali perjalanan UMNO selama 77 tahun ini, saya melihat jatuh bangun UMNO dan apa yang dihasratkan ialah biarlah parti ini kekal terus melaksanakan khidmat kepada rakyat demi agama, bangsa dan negara.

”UMNO perlu mengutamakan rakyat dengan menjadi sebuah parti yang berkhidmat hanya untuk rakyat, bukannya kepada golongan tertentu sahaja,” katanya.

Nik Mohd Nadzri berkata kesemua elemen-elemen ini adalah asas perjuangan yang perlu UMNO pertahankan dan teruskan untuk memastikan parti ini diterima rakyat.

Dalam pada itu, tambah beliau, PRN yang bakal berlangsung dijangka lebih awal dari tarikh tempoh yang ditetapkan dan bakal menjadi medan ujian buat UMNO khususnya di Sabah sama ada parti itu masih diterima rakyat atau tidak.

”PRU yang terdahulu tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai prestasi UMNO dalam arena politik negara ini.

”Tetapi PRN akan datang bakal menjadi medan ujian bagi UMNO khususnya di Sabah, jadi UMNO perlu bergerak sekarang dengan memperbanyakkan program-program untuk mendekati rakyat,” katanya.

Mengulas bantuan untuk memperbaiki jalan raya Naundarangan, Nik Mohd Nadzri berkata ianya sebagai tanggungjawab sosial UMNO Bahagian Keningau yang memahami denyut nadi rakyat di kampung tersebut dan membabitkan lima buah kampung lain yang terpaksa berhadapan dengan kesukaran sejak sekian lama.

“UMNO Bahagian Keningau mengambil pendekatan jangka pandek memberikan bantuan batu kelilikir untuk mengred,membubuh batu kelikir dan meratakan agar memberikan kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk bukan sahaja berurusan ke Pekan tapi memudahkan mereka membawa keluar hasil pertanian untuk dipasarkan” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.