Setahun Kerajaan Perpaduan: Kepimpinan UMNO Berwibawa, Banyak Kejayaan Dikecapi – Wan Mahussin

JELI, 23 Dis – Sepanjang setahun pemerintahan Kerajaan Perpaduan, banyak kejayaan telah dikecapi dengan kewibawaan kepimpinan UMNO yang berada dalam Kabinet, kata Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain.

Jelasnya, prestasi Kerajaan Madani berada pada tahap yang memuaskan dan pelbagai isu utama rakyat dapat diselesaikan dengan sebaiknya.

“Pandangan saya mengenai pentadbiran Malaysia Madani dalam tempoh setahun ini berada pada tahap yang memuaskan. Isu utama rakyat dapat diselesaikan, tambahan pula dalam keadaan sekarang ini kerajaan Malaysia Madani bertambah kukuh dan teguh.

“Sekaligus membuktikan bahawasanya kerajaan ini stabil dengan lima sokongan daripada pemimpin pembangkang. Cukup untuk menjadi bukti bahawa kerajaan dalam tempoh setahun ini tidak akan goyah dan tidak berlakunya ‘tebuk atap’,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya, isu masalah bekalan beras dan penarikan subsidi ayam dapat diatasi dengan sebaiknya sepanjang setahun pemerintahan Kerajaan Madani ini.

“Dalam mendepani cabaran setahun Kerajaan Perpaduan antara masalah utama iaitu beras dapat diselesaikan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Ini turut membuktikan bahawa penarikan subsidi tidak menaikkan harga ayam bahkan menurunkan dan menstabilkan harga ayam di pasaran.

“Banyak juga kejayaan lain dikecapi antaranya di bawah Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi yang berjaya dalam memastikan negara kita tidak diceroboh serta dirampas oleh pihak lain seperti dalam kes Sulu.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga berjaya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. Terdapat beberapa transformasi dilakukan oleh beliau terutamanya menubuhkan taska tahfiz pertama di Malaysia yang menjadi bidang kuasa Timbalan Perdana Menteri,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut berpandangan bahawa para pimpinan UMNO sangat berwibawa dan mampu untuk melaksanakan amanah diberikan dengan sebaiknya.

“Saya melihat kepimpinan UMNO sangat berwibawa dan mampu menggalas tanggungjawab masing-masing. Memegang tampuk kementerian sehingga membuahkan hasil begitu baik dan tidak ada isu besar yang dilalui mereka.

“Saya melihat kejayaan demi kejayaan telah disumbangkan termasuklah di bawah Kementerian Luar Negeri iaitu Datuk Seri Zambry Abd Kadir selaku Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, membuktikan banyak rundingan antara luar negara mampu dilaksanakan termasuklah isu Palestin.

“Di bawah kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga memperlihatkan keseimbangan yang amat penting dalam membuktikan UMNO adalah parti yang tidak menggadaikan prinsip utamanya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut beranggapan bahawa UMNO/BN amat dihormati dan disanjungi lebih-lebih lagi selepas berlakunya rombakan kabinet.

“UMNO menjadi semak dan imbang kepada kerajaan hari ini dengan parti-parti daripada Pakatan Harapan (PH), akur dan menghormati. Kedudukan para pemimpin UMNO di dalam barisan kabinet terbukti apabila rombakan kabinet baru-baru ini, beliau menambah dua pemimpin UMNO sebagai menteri penuh dan timbalan menteri iaitu Datuk Seri Johari Ghani dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad.

“Ini memberikan gambaran bahawasanya UMNO amat dihormati dan disanjung bahkan suaranya didengari oleh pucuk pimpinan kerajaan,” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.