Janji Ditepati, Usaha UMNO Sedia Berkhidmat Jadi Saluran Kepada Kerajaan Perpaduan Bantu Rakyat

LABUAN, 23 Dis – Usaha UMNO untuk terus membela rakyat sentiasa direalisasikan malah setiap janji kepada rakyat tidak pernah dimungkiri.

Demikian maklum Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan yang mengakui bahawa UMNO sentiasa komited dalam membela hidup masyarakat pelbagai peringkat.

Dalam hal ini, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan mengambil inisiatif membantu masyarakat setempat di kawasan terbabit yang telah lama terkesan dalam urusan bekalan air dengan menyediakan tangki sebagaimana yang pernah dijanjikan pada awal tahun ini.

“Syukur alhamdulillah suara dan usaha yang dilakukan oleh UMNO Labuan telah menjadi kenyataan. Secara rasminya minggu lalu Kerajaan Perpaduan telah menyampaikan penyerahan tangki biru kepada warga Labuan,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini, beliau merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah memberikan peruntukan dan bantuan bagi membantu para penduduk Labuan.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan TPM Datuk Seri Zahid Hamidi melalui Datuk Razlan Rafii, Setiausaha Politik beliau yang telah membuat penyerahan di Dewan Komuniti Kampung Sungai Bedaun, Labuan.

“Semoga bantuan tangki ini dapat menyelesaikan masalah rakyat Labuan yang ketiadaan air secara jangka pendek. Pengumuman RM300 juta yang dibuat oleh PM baru-baru ini juga akan menyelesaikan masalah air dalam masa satu hingga dua tahun dari sekarang. Rakyat Labuan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Madani.

Dalam perkembangan lain, Mohd Rafi juga melahirkan rasa gembira lantaran usaha yang dilakukan oleh UMNO Labuan bagi memohon peruntukan pembinaan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Labuan mendapat kelulusan.

“Alhamdulillah, permohonan yang diangkat oleh UMNO Bahagian enam bulan yang lepas telah menjadi realiti selepas peruntukan diberikan bagi pembinaan lima buah rumah PPRT dan 25 buah rumah untuk dibaikpulih telah diluluskan.

“Saya juga telah memohon jika boleh tahun depan diberikan peruntukan yang lebih kerana ramai lagi rakyat Labuan yang masih memerlukan rumah PPRT ini,” katanya.

Terdahulu, peruntukan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bernilai RM82 ribu telah diluluskan untuk bantuan rumah baharu PPRT dan baik pulih di sini selain RM1.8 juta untuk menaik taraf jalan kampung dan beberapa projek lain di seluruh Labuan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan Madani di atas keprihatinan kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.