Tindakan Sekat Kapal Israel Ke Malaysia Tidak Jejas Hubungan Dengan Negara Lain

PUTRAJAYA, 22 Dis – Keputusan kerajaan tidak membenarkan kapal yang menggunakan bendera Israel daripada memasuki negara ini tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara lain, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata keputusan itu jelas menunjukkan pendirian tegas negara berhubung konflik Palestin-Israel.

“Kita tidak mengatakan kita tidak menghargai hubungan kita dengan negara-negara yang lain tetapi (larangan itu adalah) disebabkan oleh ketetapan pendirian Malaysia berkenaan dengan keadaan di Gaza dan di Timur Tengah pada ketika ini” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengimbas kad perakam waktu di lobi Wisma Putra di sini hari ini sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi di kementerian itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu memaklumkan kerajaan telah memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel memasuki negara ini berkuat kuasa serta-merta selain melarang mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut memutuskan untuk menyekat dan tidak perkapalan yang membenarkan syarikat berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara berkuat kuasa serta-merta.

Sementara itu, Mohamad berkata selaku Menteri Luar, beliau akan memastikan Malaysia terus tegas memainkan peranannya dalam memperjuangkan isu Palestin di peringkat antarabangsa.

“Pendirian Malaysia telah pun dinyatakan begitu tegas sekali dan itulah pendirian tetap yang akan terus diguna pakai oleh Malaysia, jadi tidak timbul soal saya datang di Wisma Putra ini akan ada perubahan pendirian negara,” katanya.

Beliau juga akan memainkan peranan membawa mesej-mesej Malaysia ke luar negara dalam misi untuk terus mempromosikan keberadaan negara ini kepada masyarakat antarabangsa terutamanya dengan dasar-dasar baharu diperkenalkan Kerajaan Perpaduan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.