Politik Khidmat Bakti Mohamad Hasan Berterusan Untuk Orang Rembau

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Timbalan Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan meneruskan politik khidmat bakti beliau dengan menyantuni rakyat setempat.

Menerusi perkongsian di Facebook, beliau baru-baru ini berbesar hati memberikan sumbangan sempena perayaan Hari Natal yang akan disambut pada 25 Disember ini serta bantuan-bantuan lain kepada golongan memerlukan.

“Di Pusat Khidmat Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) Rantau bagi menyampaikan sumbangan sempena perayaan Hari Natal yang akan disambut tidak lama lagi.

“Turut disampaikan sumbangan buat badan bukan kerajaan, persatuan sukan sekolah, sumbangan pelajar menyambung pelajaran, bantuan perubatan dan bantuan sara hidup.

“Moga sumbangan ini dapat meringankan sedikit bebanan dan menceriakan ahli masyarakat yang memerlukan bantuan,” katanya.

Sementara itu menerusi hantaran yang sebelumnya Mohamad turut berkongsi kunjungan kasihnya ke beberapa buah rumah penduduk setempat yang berhadapan sakit terlantar.

Ziarah beliau itu meliputi DUN Chembong, Rantau dan Kota bagi menyampaikan bantuan dan bertanya khabar.

“Ziarah pesakit yang terlantar dan membantu keperluan katil hospital, kerusi roda, pampers dan bakul barang-barang makanan di sekitar Kg Kendung, Kg Legung, Kg Astana Raja dan Kg Bongek, di sekitar DUN Kota, Parlimen Rembau.

“Menyambung semula ziarah pesakit terlantar di Kg Batu 1 Pedas Tengah, Taman Chembong Jaya dan Kg Senama Ulu di sekitar DUN Chembong, Parlimen Rembau, serta menyampaikan sumbangan kerusi roda, pampers dan bakul barangan makanan.

“Dari DUN Chembung bergerak pulak ke sekitar Kg Kanchong, Kg Tanjung, Kg Solok, Rumah Rakyat Rantau dan Taman Anggerik, di sekitar DUN Rantau.

“Turut disampaikan sumbangan barangan keperluan, pampers dan sedikit bantuan kewangan bagi meringankan sedikit bebanan yang menimpa.”

Beliau turut sama mendoakan kesejahteraan kepada pesakit serta waris dan berharap mereka diberikan ketabahan mendepani ujian kesihatan ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.