Persefahaman Status Quo Antara Kaum Bawa Kesejahteraan… Perlu Terus Disuburkan – Shah Zanuriman

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Persefahaman ‘status quo’ antara kaum yang telah membawa kesejahteraan kepada rakyat lebih 60 tahun tidak sepatutnya diganggu malah perlu terus disuburkan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata, kesepaduan dan keharmonian adalah tonggak bagi mewujudkan sebuah negara yang stabil dari pelbagai aspek.

“Kesepaduan dan keharmonian adalah tonggak utama bagi kestabilan negara. Di tengah-tengah cabaran ekonomi global tidak menentu, adalah kewajipan semua pemimpin, terutamanya dalam Kerajaan Perpaduan yang dibentuk atas rasa tanggungjawab kepada rakyat untuk bersatu padu dalam memelihara kestabilan… tanpa menjentik kontroversi yang boleh mengancam kestabilan negara.

“Namun, terdapat beberapa tokoh penting dengan sengaja telah mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab. Baru-baru ini ada yang mengeluarkan kenyataan provokatif dengan menyuarakan impian untuk melihat seorang Perdana Menteri Malaysia dari kalangan bukan Melayu.

“Lebih menyedihkan ada seorang lagi tokoh dalam ucapan beliau di dalam sebuah konvensyen di Kuala Lumpur, mencadangkan untuk mengembalikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula di peringkat bandar raya Kuala Lumpur,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selayang itu turut mempersoalkan niat sebenar tokoh-tokoh ini dalam mengeluarkan kenyataan yang dilihat tidak sensitif kepada keharmonian kaum tersebut.

“Kita tidak boleh mengelak dari mempersoalkan niat mereka di sebalik kenyataan-kenyataan provokatif ini. Adakah mereka dengan sengaja cuba menimbulkan ketidakpuasan di kalangan rakyat Malaysia atau adakah mereka tidak senang dengan keamanan dan keharmonian yang dinikmati oleh rakyat hasil daripada kesepaduan dalam Kerajaan Perpaduan?

“Persefahaman ‘status quo’ antara kaum yang telah membawa kesejahteraan kepada rakyat selama lebih dari 60 tahun sepatutnya tidak diganggu malah sepatutnya terus disuburkan dan diangkat bersama.

“Saya menolak sepenuhnya kenyataan-kenyataan yang tidak masuk akal ini yang pastinya akan membawa kepada keadaan yang lebih buruk jika dibiarkan berpanjangan. Saya menyeru para kepimpinan parti tersebut untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang cuba mencetuskan kekacauan. Untuk mengelakkan penyebaran kenyataan-kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan di kalangan pemimpin mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.