Larang Kapal Israel Berlabuh Dalam Negara Bukti Malaysia Serius Tentang Kezaliman Rejim Zionis

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berpandangan Kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus bersifat tegas, berani dan istiqamah dalam menyatakan solidariti terhadap Palestin.

Jelasnya, ini terbukti dengan tindakan penuh yakin oleh kerajaan untuk melarang syarikat perkapalan Israel daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara.

“Ini benar-benar memberi cabaran dan mesej yang jelas bahawa Malaysia amat serius dalam menentang kezaliman rejim zionis, Israel.

“Ia sekali gus menundukkan segala tohmahan negatif pihak pembangkang yang menganggap pihak kerajaan tidak serius dalam mengangkat perjuangan Palestin.

“Tindakan ini tidak akan mencela aktiviti perdagangan negara kerana kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan berkolaborasi beberapa kementerian lain sudah mengatur pelbagai agenda pemerkasaan ekonomi dan perdagangan khususnya di tahun 2024 nanti,” katanya menerusi satu hantan di Facebook.

Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia menjelaskan banyak kuasa besar di dunia akan terus memberi sokongan dan menyokong tindak-tanduk Malaysia.

“Yang pasti… masih ramai kuasa besar dunia akan memberi sokongan terhadap tindakan kita menyokong Palestin dan melawan tindak-tanduk Israel yang melanggar prinsip asas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa,” ujarnya.

Terdahulu, Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Sekatan itu adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.