Koc Baharu MRT Khas Untuk Penumpang Wanita Beri Keselesaan, Keselamatan – Noraini

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Pelaksanaan koc khas untuk penumpang wanita di Transit Aliran Massa (MRT) yang baharu diperkenal memberikan manfaat kepada kaum hawa ketika menikmati perjalanan mereka sepanjang menggunakan pengangkutan awam tersebut.

Ketua Wanita UMNO Malaysia yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan tersebut memberikan keselesaan keselamatan kepada wanita.

“Kami turut berpeluang menaiki koc tersebut. Inisiatif seperti ini amat bermakna kerana dapat mengurangkan risiko gangguan seksual terhadap wanita semasa menggunakan pengangkutan awam.

“Malah ianya juga memberikan lebih keyakinan serta rasa selamat dalam kalangan penumpang wanita,” katanya menerusi perkongsian di Facebook selepas menghadiri Projek Perintis Koc Wanita MRT laluan Kajang di Stesen MRT, Bandar Tun Hussein.

Lawatan tersebut dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. Turut serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Johan Abdul Aziz; Ketua Wanita UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Zauyah Zainudin dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bangi, Nurzainatul Atiqa.

Sementara itu, Noraini menerusi hantaran berbeza turut sama berkongsi kunjungannya ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, pelbagai perbincangan dan pertukaran pandangan diberikan sepanjang pertemuan bersama pengurusan tertinggi jabatan itu berlangsung.

“Saya telah diberikan penerangan berkenaan fungsi, cabaran serta peranan utama JKM ketika menghadiri Sesi Taklimat bersama pegawai Pengurusan Tertinggi JKM yang diketuai oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat,Norazman bin Othman.

“Saya turut berkongsi pendapat dan bertukar pandangan bagi menambahbaik perkhidmatan JKM. Sesi taklimat ini juga turut disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) JKM, Rosmahwati Ishak, dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Wan Noraidah Wan Mohd Zain,” ujar beliau.

Noraini juga turut sama berkongsi siri lawatan kerja beliau ke Terengganu baru-baru ini yang menyaksikan pelbagai program dihadiri beliau.

Antaranya adalah lawatan ke Mystreet Pizza Kitchen yang menjalankan perniagaan pengusahaan pizza dapur kayu dan Projek Usahawan Aktiviti Ekonomi Tambahan ke Melati Mekar Resources, merupakan sebuah syarikat penuh milik Bumiputera yang menjalankan perniagaan membuat dan menjual pelbagai jenis roti sejuk beku, kek dan biskut.

“Melati Mekar Resources dimiliki oleh anak kepada seorang pekebun kecil, Rosmawati Busu. Usahawan wanita ini juga menerima Anugerah Pekebun Kecil Kategori Usahawan Terbaik 2023 baru-baru ini. Bangga bila melihat ada seorang wanita yang berjaya hingga ke tahap ini. Antara produk keluaran Melati Mekar Resources yang menjadi kegemaran adalah roti Arab.

“Produknya juga turut dibekalkan ke hospital-hospital serta telah mendapat pengiktirafan Halal dan Mesti. Tahniah Puan Rosmawati. Semoga terus sukses dan dapat memasarkan produk yang dikeluarkan ke seluruh negara.

“Saya kemudiannya menyantuni seorang pengusaha pizza dapur kayu, Nur Hanani Ismail, pemilik Mystreet Pizza Kitchen. Hanani yang merupakan graduan Sains Alam Sekitar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pernah menjadi penyelidik di MOSTI menyertai perniagaan ini sejak 2015.

“Perniagaan yang bermula dari kiosk ini telah diasaskan oleh adik lelakinya Ahmad Najib Ismail bermula dari tahun 2012. Antara hasil kreatif kedua adik-beradik yang menjadi menu istimewa adalah pizza musang king dan pizza daging salai. Tahniah buat Hanani dan Najib atas usaha yang dijalankan. Semoga perniagaan ini akan terus berkembang maju, insyaa-Allah,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.